Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
200 penganut Buddha sertai 'Doa untuk Malaysia'
Diterbitkan:  Aug 29, 2015 8:52 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Kira- kira 200 penganut Buddha menyertai acara sembahyang 'Doa untuk Malaysia' sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 di rumah berhala Buddha Sri Lanka di Sentul, di Kuala Lumpur, Jumaat malam.

Ketua Tertinggi Sami Buddha Sri Lanka, Ven. B. Sri Saranankara berkata acara itu diadakan untuk mendoakan bagi keselamatan dan kemakmuran negara.

"Ketika penganut memperingati kelahiran Buddha, adalah menjadi harapan kami bahawa ajaran agama Buddha, yang menjadi prinsip bagi masyarakat yang kuat - iaitu berusaha untuk keamanan dan melakukan amal yang baik akan meresapi masyarakat kita," kata beliau kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Sementara itu, penyelaras acara, K. Lechmanan berkata acara yang serupa oleh penganut agama Hindu telah diadakan pada 14 Ogos lepas di Kuil Sri Muthu Mariamman di Jalan Pantai Dalam, di Kuala Lumpur.

"Acara 'Doa Untuk Malaysia' oleh masyarakat Islam diadakan di Dataran Merdeka pada 15 Ogos dan sehari kemudian penganut Kristian mengadakan upacara sembahyang khas di Grace Charismatic Fellowship di Taman Sri Muda, Shah Alam," kata beliau.

"Untuk penganut agama Sikh, acara itu akan berlangsung Ahad ini dari 7.30 malam hingga 9.30 malam di Gudwara Sahib, Selayang Baru, Batu Caves," kata beliau.

Program 'Doa untuk Malaysia' dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Yayasan Pendidikan Cheras, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

- Bernama

Lihat Komen
ADS