Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
10 juta pelancong disasar ke P'jaya menjelang 2020
Diterbitkan:  Aug 29, 2015 8:55 AM
Dikemaskini: 12:57 AM

Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk meningkatkan kehadiran pelancong ke Putrajaya kepada 10 juta menjelang 2020.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia selaras dengan usaha menjadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu sebagai destinasi utama pelancongan serta pusat penganjuran pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Beliau berkata jumlah kehadiran pelancong ke Putrajaya mencatatkan peningkatan sebanyak 41 peratus daripada 5.18 juta pada 2012 kepada 7.35 juta ketika ini.

Ini disumbangkan oleh peningkatan sebanyak 60 peratus pengunjung menginap di hotel-hotel di Putrajaya, satu jumlah yang melebihi purata kenaikan dicatat di negeri-negeri lain iaitu sekitar 23 peratus, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan Putrajaya di Taman Putra Perdana, lokasi yang mana majlis pecah tanah projek pembangunan kawasan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamed.

Majlis santai yang dimeriahkan dengan persembahan kombo Perbadanan Putrajaya (PPj) serta sketsa itu turut diserikan dengan bacaan puisi "Dirgahayu Putrajaya" oleh Presiden PPj, Datuk Hasim Ismail.

Tengku Adnan berkata bagi merealisasikan hasrat menarik lebih ramai pelancong, beliau menyarankan PPj dapat memperbanyakkan aktiviti di sebelah malam di Putrajaya.

"Kita harap penambahan aktiviti itu akan menarik pelancong untuk menginap di hotel-hotel di Putrajaya sekurang-kurangnya dua malam...ini cabaran saya kepada Datuk Hasim selaku Presiden PPj yang baharu," katanya.

Sementara itu, Hasim berkata, PPj akan sentiasa berusaha dan komited untuk menjadikan Putrajaya sebagai sebuah bandar yang progresif selaras dengan kedudukannya yang telah dikenali di serata dunia.

Untuk itu, PPj bertekad meningkatkan mutu perkhidmatan, bukan saja untuk memastikan ia sebagai bandar selamat tetapi juga mempunyai persekitaran yang kondusif, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS