Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pusat digesa lulus penubuhan sekolah vokasional khas

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah menggesa kerajaan persekutuan mempercepatkan penubuhan sekolah vokasional khas di negeri itu.

Beliau berkata sekolah seperti itu sudah diwujudkan di semenanjung dan berharap cadangan untuk sekolah yang sama di Sarawak dapat diluluskan.

Katanya penubuhan sekolah vokasional khas akan memberi peluang yang saksama kepada kanak-kanak kelainan upaya di Sarawak yang minat kepada pengajian teknikal dan vokasional.

Beliau berkata demikian ketika menutup Karnival Seni dan Budaya Khas peringkat negeri Sarawak di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di Kota Samarahan semalam.

Fatimah, yang juga menteri bertanggungjawab bagi pendidikan di Sarawak, juga berkata terdapat 11 sekolah khas dengan 12 kelas, 12 guru dan 33 pelajar di Sarawak di bawah Program Integrasi Khas 2015, dan bagi sekolah rendah, ada 113 sekolah yang mempunyai 350 kelas dan 574 guru dan 2,215 pelajar.

Di peringkat sekolah menengah, beliau berkata terdapat 49 sekolah yang mempunyai 164 kelas dibahagikan kepada 136 kelas untuk masalah pembelajaran, 19 kelas untuk masalah pendengaran dan sembilan kelas untuk masalah penglihatan, dengan 246 guru dan 1,421 pelajar.

Karnival selama tiga hari itu ialah anjuran bersama Jabatan Pendidikan negeri, UNIMAS dan SMK DPHA Gapor untuk memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar khas untuk menampilkan hasil seni dan bakat mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS