Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

“Saya berkhidmat dengan MAS lebih 16 tahun dan ini adalah hari terakhir saya,

"Memang tak pernah jangka jadi begini," kata seorang bekas kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Fazlee Rosli, 39, yang ditamatkan perkhidmatannya mulai semalam.

Ditemui Malaysiakini , Mohd Fazlee berkata, walaupun reda dengan apa yang berlaku, kebimbangan terhadap masa depan tetap ada kerana keadaan semasa ekonomi negara.

Dengan keadaan yang menentu, katanya, bekas pekerja MAS menyedari mereka berdepan dengan cabaran besar.

Ayah kepada dua orang cahaya mata itu merupakan juruteknik penyelenggaran pesawat MAS.

Secara keseluruhan kira-kira 6,000 kakitangan MAS ditamatkan perkhidmatan dalam penstrukturan semula syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Menurut Mohd Fazlee, notis penamatan kerja yang diterimanya sebelum ini benar-benar menguji keimanan kerana dalam keluarganya, hanya dia seorang bekerja.

Belum kerja lain

Apabila mendapat notis berkenaan, Mohd Fazlee segera mengintai-intai peluang pekerjaan di tempat lain.

“Saya sebagai ketua keluarga cuba yang memberi yang terbaik untuk isteri dan anak-anak. Namun dengan keadaan ekonomi semasa, kena pandai kawal perbelanjaan harian," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan MAS di Kelana Jaya semalam.

Bagaimanapun, setakat ini Mohd Fazlee belum mendapat pekerjaan lain.

Pada Ogos 2014, Khazanah Nasional Berhad yang merupakan pemegang saham terbesar MAS mengumumkan 12 langkah pelan penstrukturan semula syarikat itu, termasuk penubuhan entiti baru dikenali Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo).

Untuk menjayakan langkah itu, kira-kira 6,000 pekerja daripada pelbagai peringkat diberhentikan.

Sementara itu, Yusri Osman, 34, berkata dia tidak menyangka turut menerima nasib sama apabila mendapat notis pemberhentian kerja.

"Bahagian kejuruteraan adalah sektor paling penting kerana kakitangan di sini bertanggungjawab sepenuhnya mengendalikan serta menyelenggara setiap pesawat MAS," katanya.

Yusri berkata, apabila mendapat tahu tentang rancangan penstrukturan semula MAS mereka tertanya-tanya nasib masing-masing sama ada akan diberhentikan atau tidak.

Nak buat macam mana

Namun, katanya, mereka tidak menyangka jabatan kejuruteraan turut menerima kesan tersebut, malah bilangan yang diberhentikan juga ramai.

Namun, Yusri terpaksa menerima keputusan dibuat MAS dengan pasrah.

“Dah ditamatkan perkhidmatan, terima sajalah. Nak buat macam mana,” keluh Yusri.

Khairul Amri Md Sohod, 29, pula mengaku amat terkilan walaupun boleh dianggap baru bertugas berbanding Mohd Fazlee dan Yusri.

Kini Khairul Amri terpaksa kembali kepada realiti hidup dengan menerima segala ketentuan sambil berusaha mencari pekerjaan baru.

“Sudah tentu saya rasa terkilan juga pada mulanya tapi kita perlu terus melangkah," katanya yang sudah mula mencari pekerjaan baru sejak Jun lalu.

Malangnya belum ada rezeki berpihak kepada dirinya.

"Saya berharap boleh mendapat pekerjaan baru. Isteri sedang menyambung pengajian, manakala anak-anaknya kami pula masih kecil," katanya.

Rasa tak adil

Sementara itu Zulfadli Halim, 32, yang turut menerima nasib yang sama seperti kawan-kawannya kesal dengan apa yang berlaku.

"Kami tidak pasti berapa jumlah pampasan yang bakal diterima setiap kakitangan yang diberhentikan kerana jumlah sebenar hanya diketahui apabila ia dimasukkan ke akaun masing-masing pada 7 September ini," katanya.

Kata Zulfadli ( gambar ), kaedah pengiraan nilai pampasan juga dirasakannya tidak adil untuk pekerja muda kerana lebih kecil.

“Kebanyakan orang muda sekarang baru memulakan kehidupan berkeluarga, baru dapat anak, tapi sekarang dibehentikan dengan nilai pampasan kurang setimpal.

"Ini memang mencabar," katanya.

Lihat Komen
ADS