Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GHB: Kami tak takut guna nama Islam
Diterbitkan:  Aug 29, 2015 10:00 AM
Dikemaskini: 2:06 AM

Gerakan Harapan Baru (GHB), yang digerakkan bekas pemimpin kanan PAS, terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan menolak permohonan mendaftarkan parti baru Parti Progresif Islam (PPI).

Malah, kata setiausahanya Dr Dzulkefly Ahmad, keputusan itu dibuat secepat kilat dalam masa 24 jam sahaja.

“Kalaulah kecekapan tadbir urus sepantas keputusan diambil ini, maka pastinya prestasi tata kelola kerajaan akan dapat dipertingkatkan.

“Malangnya, sikap pantas penguasa politik ini bersifat selektif,” kata bekas anggota parlimen Kuala Selangor itu.

GHB berkata menghantar permohonan mereka pada Khamis lalu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menolak permohonan GHB.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata Islam adalah hak untuk semua yang beragama Islam dan penggunaan nama itu pada parti politik hanya boleh menyebabkan kekeliruan.

Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian di Marang semalam.

Bukan monopoli mana-mana pihak

Sementara itu, GHB berkata berkata walaupun memahami bahawa parti itu tidak diukur pada nama, “namun ia mustahak supaya kami tidak didakwa takut menggunakan nama Islam”.

“Bahkan lebih penting dari itu Islam yang kami perjuangkan tidak lagi menjadi satu fobia di sisi masyarakat bukan Islam,” katanya.

“Sementara itu masyarakat Islam pula amat senang dengan Islam yang inklusif dan memberikan keadilan dan kesejahteraan menaungi semua kaum, agama dan budaya dalam negara ini.

“Sekali gus ia menjadikan Islam tidak lagi milik monopoli mana-mana pihak.”

Dzulkefly juga menegaskan, walau apa pun yang pentingnya dasar mereka tetap Islam yang syumul dan inklusif serta dicorak oleh pemikiran maqasid syariah (tujuan-tujuan syariah), khasnya dalam hal ehwal kenegaraan.

“Kami terus berusaha dan berdoa agar Allah akan permudahkan usaha-usaha ke arah pembentukan sebuah parti Islam baru ini,” katanya.

Beliau juga berkata sidang media yang dirancang pada 31 Ogos ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur diteruskan seperti biasa.

Dalam sidang media itu GHB akan menjelaskan tentang parti baharu yang bakal kami lancarkan secara rasmi pada 16hb September nanti.

Lihat Komen
ADS