Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zahir: Bantu perjelas isu, bukan tambah kelirukan
Diterbitkan:  Aug 29, 2015 8:17 PM
Dikemaskini: 12:20 PM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin Umno supaya membantu memperjelas isu tertentu kepada anggota akar umbi dan bukannya mengeruhkan keadaan dengan mewujudkan kekeliruan.

Beliau berkata ada kekeliruan yang sengaja ditimbulkan dari dalam parti untuk memecah-belahkan sokongan anggota terhadap pemimpin tertinggi.

"Kita sebagai pemimpin perlu berperanan sebagai pemimpin. Jika sesuatu itu kabur, kita perjelaskan. Kalau sesuatu itu menjadi kekeliruan, jangan tambah kelirukan.

"Kita buat penjelasan, barulah organisasi itu baik dan parti kita, organisasi kita, masyarakat kita akan menjadi lebih mantap," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Lenggong di Maktab Rendah Sains MARA di Lenggong hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir merangkap pengerusi badan perhubungan Umno Perak dan Ketua Umno Bahagian Lenggong Datuk

Shaarani Mohammad.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno berkata selain musuh di luar, parti itu juga berdepan serangan segelintir musuh dalam parti.

Justeru itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk memperbetulkannya dari dalam.

"Hakikatnya organisasi harus berjalan terus, parti harus berjalan terus, pilihan raya akan kita hadapi.

"Musuh di luar serang kita, kadang-kadang musuh di dalam pun tolong serang lebih hebat daripada yang di luar. Permasalah kita bukan musuh di luar, permasalahan kita musuh di dalam... kekeliruan sengaja diwujudkan untuk memecahkan kita dari dalam," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS