Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M rayu MP BN sokong undi tak percaya
Diterbitkan:  Sep 1, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merayu kepada para MP BN agar menyokong usul tidak percaya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Beliau menjelaskan, kerajaan BN akan tetap kekal walau MP berkenaan boleh menyokong undi tidak percaya kerana parti tersebut masih menguasai majoriti kerusi di Parlimen.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan untuk membendung masalah yang kini terpaksa ditanggung oleh rakyat.

“Saya rayu kepada ahli Dewan Rakyat Umno dan BN supaya menyokong undi tidak percaya kepada Najib. BN tidak akan jatuh setelah Najib disingkir. BN masih parti majoriti.

“Selagi Najib berkuasa selama itulah ekonomi merosot, nilai Ringgit jatuh, saham jatuh, kos sara hidup meningkat kerana GST, hutang negara bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah, berbilion duit rakyat disalahgunakan," katanya.

Sekiranya tidak, Malaysia akan terus dipimpin oleh Najib, yang bergantung kepada rasuah untuk kekal berkuasa.

"Malaysia akan diperintah oleh seorang perdana menteri yang bergantung kepada rasuah. Najib sendiri berkata cash is king, 'wang tunai adalah raja'. Raja inilah yang disembah oleh Najib."

Mahathir turut mengingatkan para MP BN tersebut bahawa wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib mungkin untuk sogokan kepada pemimpin dan wakil rakyat.

Sementelahan pula, penjelasan mengenai asal-usul wang "derma" tersebut "tidak masuk akal"

"Tidak pula diperkenalkan penderma, punca kekayaannya, bentuk wang yang diberi, bank yang terlibat dan lain-lain butiran. Sebenarnya dakwaan ini tidak boleh diterima akal," katanya.

Mahathir memberi amaran bahawa Najib akan memerlukan wang haram lebih banyak untuk terus kekal di tampuk kuasa.

"Jika Najib menang kerana sogok wang, dia akan perlu lebih banyak wang lagi untuk mengekalkan dirinya sebagai PM dan untuk PRU 15. Dari mana akan datang berbilion lagi jika tidak secara haram," katanya.

Lihat Komen
ADS