Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan 'menasihati' Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah supaya jangan 'membelanjakan' wang mereka untuk sementara waktu.

Kata Abdul Rahman, kerajaan akan menghantar bil tuntutan kepada pertubuhan itu untuk menampung kos membersihkan kawasan tempat perhimpunan BERSIH 4 diadakan.

"Tolong jangan belanja habis (sebab) saya fikir nak hantar satu bil kepada BERSIH," katanya di sidang media di Serdang hari ini.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, jumlah kos tambahan untuk membersihkan kawasan digunakan BERSIH dalam perhimpunan 34 jam mereka menelan belanja kira-kira RM65,000.

Jumlah itu, katanya, adalah hanya untuk kawasan di Kuala Lumpur saja.

"Justeru saya harap Maria jangan habiskan (belanja) dulu RM1.5 juta itu ," katanya.

Sebelum ini BERSIH dilaporkan mendapat sumbangan derma dan kutipan daripada jualan kemeja T bernilai lebih RM1 juta.

Menurut Ahli Parlimen Kota Belud berkenaan, kerajaan akan menghantar bil tuntutan berkenaan secepat mungkin dan menjangkakannya minggu ini.

Kata Abdul Rahman, banyak kerosakan berlaku sepanjang tempoh perhimpunan itu berlangsung pada 29 dan 30 Ogos lalu.

"Saya serahkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk mengemukakan bil kepada BERSIH," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS