Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'22 ahli PAS sertai parti baru gugur secara automatik'
Diterbitkan:  Sep 2, 2015 1:35 AM
Dikemaskini: 5:40 PM

Keanggotaan 22 ahli PAS yang mengisytiharkan diri mereka menyertai Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) selepas diambil alih oleh Gerakan Harapan Baru (HB) gugur secara automatik.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara itu jelas dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2011) di bawah Fasal 15(1)(c) berhubung keberhentian ahli.

"Sehubungan itu, PAS tidak perlu mengambil sebarang tindakan disiplin, cuma kita hanya perlu hantar surat kepada mereka untuk urusan pentadbiran.

"Mereka boleh memohon untuk kembali menjadi ahli PAS namun ia bergantung kepada parti untuk menerima atau menolak permohonan mereka," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di

Kediaman Rasmi Menteri Besar di JKR 10 di Kota Bharu semalam.

Kelmarin, Pengerusi HB Mohamad Sabu mengumumkan gerakan itu telah mengambil alih dan akan menjenamakan semula PPM sebagai Parti Amanah Negara (Amanah).

Butiran parti itu akan dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) secepat mungkin bagi mendapatkan kelulusan.

Mohamad turut mengumumkan jawatankuasa Amanah, yang diketuai beliau sebagai pengerusinya, Ahmad Awang penasihat umum, bekas naib presiden PAS Salahudin Ayub timbalan pengerusi, anggota Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa naib pengerusi, anggota Parlimen Kota Raja Dr Mariah Ahmad ketua wanita, dan Mohd Sany Hamzan (ulang: Hamzah) sebagai ketua pemuda.

Mohd Anuar Mohd Tahir setiausaha agung, Asmuwi Ani bendahari agung dan bekas ketua pemuda PAS Suhaizan Kaiat sebagai setiausaha organisasi.

HB merupakan platform bagi golongan profesional PAS yang dikatakan kecewa selepas ditolak anggota parti itu melalui muktamar tahunannya Jun lepas.

Mengulas mengenai bai'ah dan lafaz taklik yang dipersetujui oleh anggota PAS ketika menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu, Takiyuddin berkata ia tidak memberi kesan dari segi perundangan.

"Dari segi undang-undang, ia tak ada 'legal effect' (kesan perundangan), tapi ia 'moral obligation'(kewajipan moral)," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS