Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seramai kira-kira seratus orang penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut ketibaan bekas timbalan perdana menteri itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini.

Penyokong yang mengenakan baju berwarna hitam dengan gambar Muhyiddin beserta tulisan "I am not a yes man" di belakang baju tersebut mula berkumpul di KLIA seawal jam 7.30 pagi.

Mereka hadir pada pagi ini bertujuan bagi menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno itu.

Antara penyokong yang hadir merupakan ahli Umno di beberapa bahagian di Johor iaitu Ayer Hitam, Gelang Patah, Pulai, Pengerang dan Pagoh.

Turut hadir ialah abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

Muhyiddin yang baru tiba dari Australia selepas bercuti selama dua minggu bersama isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman mendapat tepukan gemuruh ketika mereka berjalan keluar di balai ketibaan.

Ketika ahli Parlimen Pagoh itu tiba pada jam 8.30 pagi beliau turut dipeluk dan bersalaman dengan para penyokongnya.

Walaupun Muhyiddin dilihat keletihan, namun beliau tersenyum dan bersalam serta bergambar dengan para penyokongnya.

Selepas itu, bacaan doa bagi menyambut kepulangan dan keselamatan Muhyiddin dibacakan oleh salah seorang daripada mereka.

Ketika didekati media, Muhyiddin hanya mengangkat tangan dan berkata "Tak apalah" sambil tersenyum.

Beliau kemudian beredar selepas beramah mesra dengan penyokongnya selama kira-kira 20 minit.

Muhyiddin digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri pada 28 Julai lalu.

Penggugurannya itu dipercayai ekoran kelantangan Muhyiddin berhubung isu skandal kewangan 1MDB.

Malah, beliau juga sebelum ini menegaskan, bahawa beliau bukanlah seorang pak turut dan tidak akan berundur daripada jawatan timbalan presiden Umno.

Lihat Komen
ADS