Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pihak berkuasa keselamatan Thai menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan bom di Bangkok dua minggu lepas di sebuah wilayah dekat sempadan Thai-Kemboja.

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha, berkata suspek lelaki itu ditangkap pagi semalam di wilayah Thai, membayangkan yang negara telah mencapai kemajuan besar dalam kes berkenaan sejak tertangkapnya suspek pertama pada Sabtu.

"Saya telah diberitahu mengenai penangkapan suspek itu semasa waktu makan tengah hari. Beliau ditangkap di perkampungan Parai di wilayah Sakeaw," katanya pada taklimat media tengah semalam.

Beliau menyifatkan lelaki itu sebagai suspek penting. Wilayah Sakaew terletak di bahagian timur Thailand dan kira-kira tiga jam perjalanan kereta dari Bangkok.

Sementara itu, pihak berkuasa Thai enggan menamakan suspek atau kewarganegaraannya, walaupun media sosial telah memberikan maklumat tersebut.

Menurut maklumat di media sosial, Twitter, aplikasi chatting LINE dan Facebook, suspek yang ditahan hari ini ialah seorang warga China berusia 25 tahun berasal dari Xinjiang, wilayah kumpulan etnik Muslim Uighur.

Beliau didakwa cuba meninggalkan Thailand secara haram.

- Bernama

Lihat Komen
ADS