Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim: Ketiadaan PAS dalam BERSIH 4 dirasai
Diterbitkan:  Sep 2, 2015 12:44 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah kehadiran pada perhimpunan BERSIH 4 hujung minggu lalu membuktikan parti Islam itu masih menjadi faktor besar dalam arus perdana politik negara.

Tuan Ibrahim berkata berdasarkan laporan media, ketiadaan PAS pada perhimpunan yang diadakan 29 dan 30 Ogos lalu dirasai berbanding perhimpunan BERSIH sebelum ini.

"PAS hadir dengan sepenuh tenaga setiap demonstrasi BERSIH mahupun anti-GST yang lepas.

"Hanya kali ini PAS tidak mengerahkan ahlinya di BERSIH 4. Oleh itu, kesannya adalah minima.

"Malah melalui laporan pelbagai media, difahamkan ketiadaan PAS dirasai kali ini berbanding perhimpunan BERSIH sebelumnya.

"Ini sekaligus membuktikan PAS sebagai parti pembangkang terbesar dan terus menjadi faktor besar di arus perdana politik negara," katanya dalam satu kenyataan.

Walaupun parti itu tidak mengerahkan seluruh ahlinya hadir ke perhimpunan selama 34 jam itu, namun Tuan Ibrahim berkata PAS tetap menyokong tuntutan BERSIH dan tidak melarang ahlinya untuk menyertai perhimpunan tersebut.

"PAS tidak melarang ahlinya untuk menyertai perhimpunan kali ini. Yang berbeza - cuma PAS tidak kerah ahli kerana sudah ada banyak program parti yang telah diaturkan terlebih dahulu.

"Ahli boleh memilih samada pergi atau tidak, tanpa sebarang kongkongan," katanya lagi.

Bagaimanapun, bekas pensyarah itu kesal apabila wujudnya insiden memijak gambar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dianggap sebagai tidak beradab dan melampau batas.

Tindakan itu juga dilihat sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap parti Islam itu dan presidennya, kata Tuan Ibahim lagi.

Justeru, beliau menganggap, keputusan PAS untuk tidak meminta ahlinya menghadiri perhimpunan itu adalah tepat.

"PAS ingin melahirkan dukacita dan kekesalan yang amat sangat dengan insiden tidak beradab ini. Insiden-insiden penghinaan sebegitu, walaupun terpencil, oleh para provokasi sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan yang tidak perlu.

"Ini membuktikan keputusan PAS adalah tepat kali ini untuk tidak mengerahkan ahlinya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS