Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Semua pemimpin politik, NGO, ahli akademik, golongan profesional termasuk Gerakan Harapan Baru (GHB) dan Umno dijemput menyertai Kongres Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 12 September depan.

"Kami jemput semua wakil parti politik di negara ini termasuk GHB dan Umno supaya mendengar suara rakyat.

"Surat jemputan umum juga sudah kami edarkan," kata Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dalam sidang medianya hari ini.

Malah, menurut pengerusinya Azmi Abdul Hamid kehadiran bekas anggota Wanita Umno Langkawi, Anina Saaduddin ke kongres itu nanti bagi meluahkan ketidakpuasan hati beliau.

"Kita juga memjemput Ainina," kata Azmi.

Azmi juga turut menegaskan Kongres Rakyat bukannya rentetan daripada perhimpunan BERSIH 4 yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

"BERSIH membawa pendekatan jalanan, Kongres Rakyat membawa pendekatan pemikiran", katanya.

"Kebetulan BERSIH sudah berlangsung dan ini bukan merupakan satu persetujuan yang dirancang bersama BERSIH,” katanya.

PAS sebelum ini tidak mengerahkan anggotanya ke perhimpunan BERSIH pada 29 dan 30 Oktober, antaranya atas alasan mahu memberi tumpuan pada kongres itu.

Acara itu bertujuan merangka resolusi dan pelan tindakan ke arah satu gerakan kebangkitan yang berkesan.

"Kongres Rakyat ini akan menjadi medan untuk mencari dan merumus mekanisme terbaik serta berkesan mewakili semua pihak dan peringkat pandangan rakyat,"katanya.

Manakala, speaker Kongres Rakyat Mustafa Kamil Ayub berkata, ini merupakan usaha yang penting dalam kemelut yang sedang melanda rakyat pada ketika ini.

"Tidak dinafikan bahawa pendekatan jalanan itu merupakan satu pendekatan yang popular.

"Cuma kita melihat kepada perubahan masyarakat di Malaysia pada ketika ini yang memerlukan pendekatan perundingan iaitu mengembleng pandangan secara teratur yang mungkin tidak sempat dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

"Sebab itu, kita rasa setelah beberapa siri sebelum ini yang dijalankan melalui jalanan, kita rasakan dan kita terpanggil untuk menjalankan kongres ini dengan pendekatan berbeza", katanya.

Lihat Komen
ADS