Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH: Beralih dari isu pijak gambar
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 11:23 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Pemuda parti Islam baru Parti Amanah Nasional (AMANAH) hari ini mengajak orang ramai beralih daripada isu memijak gambar dalam perhimpunan BERSIH 4 kepada isu besar lain yang melanda negara.

“Bukankah lebih baik dan bermakna jika mereka menyuarakan kemarahan mereka terhadap pemerintah yang tidak pedulikan rakyat terutamanya Melayu,” kata pengarah komunikasinya Faiz Fadzil.

Anak bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor itu membangkitkan isu-isu lain termasuk, beban hutang RM42 bilion 1MDB dan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Faiz juga mengetengahkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta beban kos sara hidup ketika 40 peratus orang Melayu masih mempunyai pendapat bawah RM2,000 sebulan.

Mengulas insiden memijak gambar Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Faiz berkata biarlah ia diselesaikan antara pihak yang terbabit.

“Usahlah insiden tersebut dijadikan api perkauman yang merugikan rakyat dan negara,” katanya lagi dalam tulisan di Facebook hari ini.

AMANAH digerakkan semula oleh bekas pemimpin kanan PAS yang tewas dalam muktamar parti itu Jun lalu.

Parti itu yang nama asalnya Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) sedang dalam proses menukar nama kepada AMANAH.

Lihat Komen
ADS