Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas menyaman Datuk Seri Najib Razak, bekas anggota Umno Kedah Anina Saadudin hari ini mengugut mengambil tindakan terhadap setiausaha agung parti itu pula.

Anina memberi kata dua kepada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menarik balik surat perlucutan keanggotannya atau berdepan dengan tindakan yang akan diambil.

"Saya dengan penuh hormat meminta Datuk Seri (Tengku Adnan) untuk menarik balik dan membatalkan surat Datuk Seri tersebut dalam tempoh tiga hari bekerja selepas surat ini.

"Andai kata Datuk Seri gagal berbuat demikian, saya akan memegang hak untuk mengambil tindakan terhadap Datuk Seri kerana melanggar peraturan parti dan gagal mempertahankan dan melindungi aset parti Umno sehingga sejumlah AS$650 juta hilang daripada akaun Umno dan dilarikan ke akaun bank di Singapura yang bukan milik Umno ," katanya.

Perkara itu dinyatakan dalam sebuah notis empat muka surat kepada Tengku Adnan yang akan diserahkan hari ini.

Prinsip keadilan asasi

Anina berkata demikian pada sidang media di pejabat peguamnya di Kota Damansara hari ini.

Selain itu, Anina turut memberitahu, beliau sehingga kini masih belum menerima surat yang menyatakan pelucutan keahliannya walaupun ia tersebar di media sosial.

Malah, berdasarkan gambar surat yang diperolehi, Anina mendapati terdapat kecacatan dalam surat perlucutan keahlian tersebut.

Ia membabitkan dua surat berasingan, masing-masing bertarikh 1 dan 2 September.

Satu lagi 'kecacatan' didakwa Anina ialah ejaan alamat yang tidak betul.

Sehubungan itu, Anina berkata tindakan pemecatan keahlian yang dilakukan ke atasnya juga menyalahi prinsip keadilan asasi kerana dia tidak pernah dipanggil oleh parti untuk memberi penjelasan.

"Tindakan pemecatan ini menyalahi prinsip keadilan asasi kerana saya tidak pernah dipanggil untuk menjelaskan mana-mana perilaku saya," katanya.

Tambahnya lagi, tindakannya yang menyaman Najib adalah berdasarkan tanggungjawab dan haknya kepada parti.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Najib tidak diambil tindakan, sebaliknya dirinya saja.

"Tuntutan yang dibuat di dalam saman mahkamah tersebut adalah terhadap seorang pesalah laku iaitu Datuk Seri Najib Razak dan bukan perkara parti dan hak keahlian saya semata-mata.

"Amatlah aneh bahawa si pesalah laku tidak dikenakan sebarang tindakan tetapi sebaliknya saya yang melaksanakan tanggungjawab perlembagaan ahli pula yang kononnya dipecat. Inikah keadilan dalam Umno?" kata Anina lagi.

Lihat Komen
ADS