Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anina Saadudin, yang dipecat daripada Umno kerana menyaman presiden parti, menegaskan kesetiaan kepada parti Melayu itu dan tidak akan menyertai pembangkang.

Beliau menjelaskan, tindakan yang dilakukannya semata-mata kerana kasih dan sayang kepada Umno.

"Saya ada menerima pertanyaan adakah saya akan sertai pembangkang selepas ini.

“Saya tegaskan apa saya lakukan pada hari ini kerana kasih dan sayang pada Umno.

“Apa jua yang berlaku, hidup dan terkuburnya saya biar bersama Umno.

"Kasih sayang saya bersama Umno akan kekal selamanya," kata Anina dalam sidang medianya hari ini.

Malah Anina yang merupakan seorang pensyarah juga memberi pesanan kepada semua ahli Umno supaya hanya takutkan Allah, bukan individu yang berkuasa pada hari ini.

"Kalau kita sayangkan Umno kita perlu takutkan pada Allah. Kalau sayangkan Umno, kita perlu fikirkan generasi akan datang, anak cucu kita. Untuk apa takutkan pada kuasa yang ada pada hari ini.

"Kita hidup hanya sementara. Fikirkan tentang masa depan," katanya lagi.

Setiausaha kerja juga defendan

Anina memfailkan saman pada Jumaat lalu melalui firma guaman Hanif Khatri Abdullah untuk mendapatkan sebahagian daripada RM2.6 bilion sumbangan luar untuk Umno tetapi dimasukkan ke akaun Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Wang itu adalah sebahagian daripada sumbangan asal bernilaoi AS$650 juta (RM2.75 bilion) yang diterima Najib.

Sebanyak AS$650 juta dipindahkan ke Singapura pada 30 Ogos 2013 dan ia adalah hari sama Najib didakwa menutup akaunnya.

Selain Najib, Anina turut menamakan Setiausaha Kerja Umno, Abdul Datuk Rauf Yusoh sebagai defendan.

Dalam samannya itu, Anina memohon injunksi terhadap Najib dan Abdul Rauf atau ejen dan/atau pekerja dalam lembaga disiplin, majlis tertinggi, badan perhubungan negeri, bahagian dan cawangan Umno supaya dihalang daripada membuang, menggugurkan, menggantung dan/atau mengambil sebarang disiplin terhadapnya sementara menunggu pelupusan kes itu.

Lihat Komen
ADS