Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bot karam, 14 dipercayai warga Indonesia mati lemas
Diterbitkan:  Sep 3, 2015 5:23 PM
Dikemaskini: 9:36 AM

Sebanyak 14 orang dipercayai warga Indonesia setakat ini ditemukan mati lemas manakala 15 lagi terselamat selepas sebuah bot membawa kira-kira 70 penumpang karam di perairan Selangor pagi ini.

Laksamana Pertama Maritim Daerah Klang, Mohd Aliyas Hamdan berkata bot sepanjang 40 kaki itu karam ketika dalam perjalanan dari Kuala Sungai Bernam menuju ke Tanjong Balai, Indonesia.

Insiden berlaku pada kedudukan sembilan batu nautika di barat daya Tanjong Sauh.

"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat daripada nelayan tempatan pada 10.37 pagi yang telah menjumpai 14 mayat iaitu 13 wanita dan seorang lelaki, serta menyelamatkan 15 yang lain terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita," katanya.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Daerah Klang di sini, beliau berkata kejadian mungkin berpunca daripada bot terlebih muatan atau cuaca.

"Pihak kami masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian ini," katanya sambil memberitahu setakat ini empat aset milik APMM merangkumi dua kapal dan dua bot berada di lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS