Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pijak gambar: 'Moral tak lagi jadi keutamaan'
Diterbitkan:  Sep 4, 2015 11:20 AM
Dikemaskini: 3:21 AM

Tindakan memijak gambar pemimpin pada perhimpunan Bersih 4 minggu lalu adalah satu tindakan yang tidak mencerminkan masyarakat berilmu.

Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Madeline Berma berkata mereka bertindak demikian kerana menganggap amalan sivik dan moral, tidak lagi menjadi keutamaan dalam dunia moden sekarang.

"Mereka belajar di sekolah hanya untuk mendapat keputusan cemerlang dan pekerjaan namun bukan lagi mendidik menjadi orang yang tinggi ilmu adabnya," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas beberapa peserta Himpunan Bersih 4 yang bertindak memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Ini masalah masyarakat kita yang sudah tidak mempedulikan nilai-nilai murni," katanya.

Sementara itu, tokoh Sastera Negara Prof Madya Dr Lim Swee Tin menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan melampau selain bertentangan dengan amalan masyarakat di negara ini.

"Ia satu bentuk anasir negatif dari negara asing yang cuba dibawa masuk bagi mencetuskan huru-hara dan menggugat kemakmuran yang dinikmati sejak merdeka lagi.

"Dari zaman nenek moyang lagi kita diajar dengan nilai-nilai murni dan positif yang menjadi teras kepada pembinaan negara dan bangsa.

"Malah budaya bangsa kita tanpa mengira kaum, agama dan asal keturunan menjunjung tinggi rasa hormat, bertoleransi dan bersusila," katanya.

Bagaimanapun, pada masa sama, Swee Tin berpendapat perbuatan itu tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu kaum atau bangsa kerana individu yang melakukan kesalahan itu sahajalah yang harus dipersalahkan.

"Jika pelaku itu berketurunan Cina, sikapnya tidak sama sekali mencerminkan kesemua rakyat kita yang berketurunan Cina, individu itu sahajalah yang harus dipersalahkan dan bertanggungjawab," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS