Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak tahu mereka cuba guling k'jaan, saya bodoh'

Bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Andre Justo, yang dihukum penjara di Bangkok atas sabitan memeras ugut bekas majikannya, merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap tempoh hukuman penjaranya selama tiga tahun, menurut The Straits Times (ST).

"Saya tidak menjangkakan ia tiga tahun," katanya dalam temuramah dengan akhbar itu.

Justo dikenakan hukuman pada 17 Ogos lepas tetapi menjangkakan hukumannya diringankan selepas memberi kerjasama kepada polis dan membuat pengakuan sepenuhnya berhubung tuduhan terhadapnya.

Warga Switzerland itu mempunyai tempoh sehingga 17 Sept ini untuk mengemukakan rayuan.

Dalam waktu sementara, beliau bercadang untuk mendapatkan khidmat peguam Thailand yang baharu, katanya dalam temuramah yang disertai peguamnya, Marc Henzelin, di penjara Klong Prem, Bangkok.

Justo membidas rujukan terhadapnya sebagai pemberi maklumat (whistle-blower) yang menjual data projek usaha sama antara firma Saudi itu dan IMalaysia Development Berhad (1MDB) yang dicuri daripada bekas majikannya.

"Saya bukan 'whistle-blower'. Ia mudah untuk saya dilihat dalam imej seperti itu tetapi saya bukan. Mereka (pembeli maklumat) mempunyai agenda politik yang saya tidak ketahui.

"Saya tidak mempunyai idea apa yang terkandung dalam fail-fail itu. Saya tidak tahu mereka (pembeli maklumat) cuba menggulingkan sebuah kerajaan. Saya bodoh," dakwanya.

Justo, yang letak jawatan dalam PetroSaudi pada 2011, menuntut 2.5 juta Swiss franc (S$3.7 juta) daripada ketua eksekutif PetroSaudi pada 2013 kerana tidak mendedahkan maklumat yang dipegangnya mengenai syarikat itu.

Firma itu telah membayar dia sebelum ini dan enggan membuat bayaran sekali lagi dan sebaliknya membuat aduan dengan polis Thailand pada Mei lepas.

Justo ditahan oleh polis Thailand di pulau peranginan Koh Samui pada Jun lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS