Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah ketengah kisah khalifah tolak hadiah
Diterbitkan:  Sep 4, 2015 3:29 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat hari ini menyeru umat Islam di negara ini agar menjauhkan diri daripada amalan rasuah kerana ia hanya membuatkan hidup mereka sengsara.

Khatib berkata pengamal rasuah akan sentiasa dibelengu keresahan dan kebimbangan serta menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin menjatuhkan dirinya.

“Pengamal rasuah akan sentiasa hidup dalam keresahan dan kebimbangan dan menganggap orang lain sebagai musuh yang ingin membongkar kesalahan mereka,” kata mimbar.

Khutbah juga mengingatkan bahawa memberi atau menerima rasuah menjadi kesalahan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.00, yang mana lebih tinggi.

Jakim juga mengingatkan umat Islam bahawa perbuatan rasuah amat dimurkai Allah dan juga boleh menghancurkan masyarakat, agama dan negara.

'Itu hadiah, ini suapan'

Khutbah untuk masjid di Wilayah Persekutuan itu memetik tokoh terkenal Islam Umar Abdul Aziz yang menolak hadiah ketika menjadi khalifah umat Islam.

“Kemudian dia dikatakan kepadanya “rasulullah SAW menerima hadiah'.

"Maka Saidina Umar bin Abdul Aziz menjawab, 'apa yang diterima oleh Rasulullah SAW itu memang hadiah, tetapi ini buat saya adalah suapan (rasuah)',” katanya.

Teks khutbah itu juga berkata umat Islam dituntut menitikberatkan punca rezeki yang diperoleh yang harus daripada sumber yang halal, bukan rasuah atau pecah amanah.

“Tetapi pada akhir zaman ini sebahagian umat Islam tidak lagi menapis sumber rezeki mereka, asalkan menguntungkan mereka.

“Mereka ini ingin cepat kaya dan menganggap harta kekayaan sebagai matlamat penting dalam kehidupan.

“Lantaran itu mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat dan keinginan masing-masing,” katanya.

Lihat Komen
ADS