Sebaliknya, laporan post-mortem yang dijalankan oleh PAS menunjukkan kekalahan itu juga disebabkan parti itu telah kehilangan sokongan daripada pengundi muda Melayu.
Menurut sumber-sumber parti itu, ia turut menjadi faktor penting yang mengakibatkan kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum lalu bagi kerusi negeri dan Parlimen.
"Faktor itu dijangka menjadi asas utama dalam usaha parti itu merangka semula pendekatannya untuk menarik lebih ramai pengundi menyokong perjuangan ideologi politik PAS,' kata beberapa pemimpin parti tersebut.
PAS kehilangan Terengganu kepada BN dalam pilihanraya umum Mac lalu, tetapi berjaya mengekalkan kuasanya di Kelantan tetapi hanya dengan kelebihan tiga kerusi. PAS menang 24 kerusi manakala BN 21 kerusi.
Di samping itu, jumlah ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat juga telah berkurangan dengan banyaknya daripada 27 kepada tujuh orang sahaja.
Khamis lalu, jawatankuasa yang bertanggungjawab menjalankan post-mortem itu, yang diketuai oleh Naib Presiden PAS Datuk Mustafa Ali, telah menyerahkan hasil laporannya kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Dalam sidang akhbar sewaktu majlis penyerahan laporan setebal 99 muka surat itu, Abdul Hadi berkata beliau tidak akan membuat sebarang ulasan sehinggalan selesai membaca kandungannya.
Pendekatan baru
Sumber-sumber parti itu di Kota Baru yang turut terbabit dalam menyiapkan laporan tersebut, berkata mereka mendapati parti pembangkan itu telah kehilangan sokongan kira-kira 60,000 pengundi muda Melayu di Kelantan dan Terengganu.
"Ia (kekalahan) bukan disebabkan oleh bukan Islam (tidak menyokong PAS). Tetapi pengundi muda Melayu. Terdapat kira-kira 60,000 orang dan mereka inilah yang menjadi punca utama kekalahan kita di Terengganu dan Kelantan," katanya ketika dihubungi malaysiakini.
"Oleh itu, PAS akan menyusun semula pendekatan dan kaedah parti itu untuk menyebarkan visinya mengenai negara Islam" kata sumber-sumber itu yang tidak mahu disebut namanya.
"Kami sedar bahawa kami tidak melakukan secukupnya untuk memperjelaskan mengenai persepsi golongan ini mengenai negara Islam.
"Dalam laporan post-mortem itu, terdapat bahagian yang dikhususnya ke arah meningkatkan lagi usaha parti dalam bidang pendidikan, maklumat dan sosial terhadap golongan ini," tambahnya.
Walaupun sebelum ini Abdul Hadi dikritik keras kerana dikatakan tidak konsisten mengenai gesaan supaya parti itu memboikot keputusan pilihanraya umum yang lalu, serta corak kepimpinannya, tetapi seorang lagi pemimpin PAS berkata, laporan post-mortem itu tidak menyentuh langsung mengenai kelemahan para pemimpinnya.
Sementara itu, ahli Jawatankuasa Pusat PAS Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, walaupun belum melihat kandungan laporan itu, tetapi kenyataan kepimpinan PAS mengenai kekalahan parti tersebut, mencerminkan kegagalannya untuk menilai sokongan rakyat terhadap parti itu.
"Saya telah difahamkan bahawa laporan itu bersifat objektif dan mana-mana kritikan,yang dibuat, ianya ditujukan kepada kepimpinan parti dan tidak kepada pemimpin tertentu sahaja," kata Kamaruddin ketika dihubungi.