Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi: Apa harga rakyat perlu bayar selamatkan 1MDB?
Diterbitkan:  Sep 10, 2015 1:15 PM
Dikemaskini: 6:01 AM

Janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikan masalah hutang 1MDB dalam tempoh enam bulan, mengundang kebimbangan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

"Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

"Rekod pentadbiran BN dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah sejak 1980-an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya BN menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka.

"Dahulunya, dana Petronas sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah," kata setiausaha agung PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Najib meminta tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah 1MDB termasuk mengurangkan hutang melalui pelan rasionalisasi dan telah diberi penjelasan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkenaan isu itu.

Dalam kenyataannya juga, Rafizi membangkitkan risiko yang diterima oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ini kerana, kata MP Pandan itu, badan pelaburan awam itu mempunyai urusniaga dengan 1MDB sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan atau bon yang dipegang.

"Jika sebelum ini pun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Datuk Seri Najib Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?" soal Rafizi.

Rafizi berkata beliau sedia maklum kerajaan sedang berusaha mengadakan rundingan urusniaga dengan negara Teluk, mungkin sebagai usaha untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Bagaimanapun, Rafizi mengingatkan bahawa sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang ditanggung.

"Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu," katanya.

Beliau turut bertanya kepada Najib supaya memberi penjelasan terperinci mengenai terma yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat serta sama urusniaga dan jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam.

Selain itu, Rafizi turut bertanya mengenai sama ada pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain tetapi ditanggung Kerajaan dan apakah kerajaan memberi jaminan untuk menanggung hutang dan indvidu yang terlibat.

"Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat.

"Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini," katanya.

Lihat Komen
ADS