Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir: RM2.6 bilion wang haram
Diterbitkan:  Sep 10, 2015 7:34 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Tun Mahathir Mohamad mendakwa tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya didapati secara haram.

“Tindakan Najib menghalang siasatan ke atas wang 2.6 bilion ringgit yang ada dalam akaun peribadinya, membuktikan wang ini didapati secara haram.

“Jika didapati secara halal, Najib tidak perlu takut siasatan diteruskan,” kata Mahathir.

Menulis dalam blognya hari ini, Mahathir membangkitkan isu pembubaran pasukan petugas khas yang menyiasat isu berkaitan perkara itu.

“Sekarang wang ini telah dipindah entah ke mana. Apabila siasatan dibuat oleh badan kerajaan yang bertanggungjawab Najib bubar badan-badan ini,” katanya.

Pasukan itu meliputi empat badan penting, iaitu Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Jabatan Peguam Negara.

Mahathir berkata majoriti rakyat kini “benci” dan menolak Najib sebagai perdana menteri kerana tidak dapat menerima penjelasan bahawa dana yang dimasukkan ke akaunnya itu derma orang Arab.

Lihat Komen
ADS