Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Penganjur perhimpunan 16 September ini, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), tidak tahu menahu tentang kejadian membakar patung mirip dua pemimpin DAP berbaju BERSIH di Kelantan.

Presidennya Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata juga beliau memberi jaminan bahawa tiada sebarang insiden "bakar-membakar" pada perhimpunan Rabu ini.

"Itu masalah mereka. Saya tak tahu. Kita tak ada bakar-bakar patung. Siapa yang bakar mana-mana gambar, itu dia tanggung sendiri.

"Saya tak suruh. Janganlah buat benda ni," katanya dalam sidang media di Batu Caves hari ini.

Dalam sebuah video dimuat naik ke Internet, kelihatan patung dengan wajah mirip Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan pemimpin popularnya Lim Kit Siang dibakar rentung.

Dalam acara itu juga, kelihatan tempat sembahyang orang mati Cina disedia dan dihias dengan gambar dua pemimpin itu, yang juga anak beranak.

Ia sebelum itu menyaksikan ucapan seorang lelaki yang mengecam keras BERSIH sebagai “celaka”, “durjana” dan “jahanam” yang hendak memecahkan orang Melayu.

Acara itu dilapor diketuai oleh ketua Umno Kota Bharu Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, yang juga bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Fatmi ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas kontroversi kontroversi itu atas alasan bimbang kenyataannya dipusing.

Beliau bagaimanapun mengakui berada dalam majlis yang dikatakan berlaku semalam itu tetapi berkata bukan beliau yang membakarnya .

Selain itu, bekas ketua menteri Melaka itu juga memberi jaminan bahawa tiada unsur perkauman akan dibangkitkan pada perhimpunan itu nanti.

"Takkan bangkit isu perkauman. Memang kita tak akan bangkitkan isu perkauman," katanya lagi.

Bukan semata-mata persatuan sukan

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Majlis Olimpik Malaysia yang mengatakan persatuan sukan tidak patut terlibat dengan politik, Mohd Ali berkata perkara itu sepatutnya tidak menjadi masalah.

Ini kerana, menurut Mohd Ali, PESAKA merupakan sebuah badan yang bukan sahaja berdaftar untuk menyertai sukan tetapi ia turut terlibat untuk mengukuhkan seni budaya dan perpaduan di negara ini.

"Apabila negara dihina sebegitu rupa, kita mesti nyatakan pendirian kita. Kerana kalau ada persatuan sukan pun, kalau negara huru-hara, apa gunanya persatuan sukan.

"Sukan ke budaya ke kita kena jaga keamanan. Apabila ada orang langgar prinsip demokrasi, langgar prinsip rukun negara, kita mesti pertahankan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian sambil merujuk kepada insiden memijak poster Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH 4.

Lihat Komen
ADS