Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS kecam tindak tanduk peserta himpunan 16 Sept
Diterbitkan:  Sep 17, 2015 1:00 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengecam tindak tanduk peserta Himpunan Rakyat Bersatu semalam yang dianggapnya berbaur perkauman dan tidak mencerminkan perbuatan orang Melayu.

Dalam kenyataannya semalam, Tuan Ibrahim menyeru rakyat agar tidak terperangkap dengan menyebar gambar perhimpunan yang membawa mesej perkauman, ucapan dan insiden sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

"Tindak-tanduk peserta perhimpunan merah bukanlah tindak-tanduk orang Melayu.

"Itu mirip tindak-tanduk Umno, yang sedang kita usaha untuk menumbangkannya pada pilihan raya umum ke-14 bagi menghentikan kerosakan berterusan terhadap perpaduan nasional dan masa depan Malaysia," katanya.

Sebaliknya ia, beliau katanya, ia satu muslihat untuk mengalih tumpuan rakyat daripada mempersoalkan isu yang melanda negara termasuk melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Muslihat mereka jelas kerana tiada satu sepanduk mahupun banner mahupun sepatah ayat yang bertanya mengenai derma RM2.6 bilion milik Datuk Seri Najib Razak, kejatuhan nilai Ringgit, 1MDB dan juga inflasi yang sedang dihadapi rakyat," katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim meminta supaya rakyat bertenang dan tidak memberi sebarang reaksi kepada perhimpunan Baju Merah yang berlangsung di ibu negara.

"Jangan biarkan muslihat mereka untuk mengalihkan tumpuan kamu berjaya.

"Itu yang dikehendaki mereka di mana rakyat Malaysia sibuk dibuai bicara perkauman," katanya.

Semalam kira-kira 50,000 menyertai himpunan itu di Padang Merbok. Sebelum berhimpun, mereka berarak dari pelbagai lokasi antaranya Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Walaupun sebelum ini penganjur memberi jaminan tiada unsur perkauman pada perhimpunan itu, namun pelbagai kain rentang dan sepanduk yang memberi amaran tentang "kuasa" Melayu di bawa.

Lihat Komen
ADS