Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata Pakatan Harapan – gabungan baru PKR bersama DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) – tiada kaitan dengan pentadbiran kerajaan Selangor.

Azmin berkata, pembentukan gabungan itu hanya melibatkan perancangan politik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Tiada kaitan dengan kerajaan negeri. Ini perancangan masa depan untuk persiapan PRU14.

"Kita banyak cabaran sekarang," katanya kepada pemberita selepas perasmian pelancaran Wifi Selangorku di Shah Alam hari ini.

PAS, yang tidak turut serta dalam gabungan baru itu, turut sama membentuk kerajaan negeri di Selangor. Parti Islam itu juga mempunyai wakil dalam mesyuarat exco bersama PKR dan DAP.

Ditanya berkaitan status exco PAS dalam kerajaan negeri Azmin sekali lagi mengulangi bahawa ia tiada kaitan.

"Tiada kaitan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor.

"Ini perancangan parti-parti politik untuk melihat bagaimana kita dapat menangani cabaran-cabaran semasa," katanya lagi.

Sementara itu, sempena ulang tahun pertama Azmin sebagai menteri besar esok, beliau melahirkan rasa syukur kerana mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk exco kerajaan negeri.

"Saya bersyukur dalam tempoh setahun, banyak pengalaman saya peroleh dalam urus tadbir di Selangor.

"Ada cabaran tapi saya bersyukur kerana dapat dukungan kuat dari rakan pimpinan majlis mesyuarat negeri dan anggota perkhidmatan awam yang beri kerjasama baik," kata Azmin.

Lihat Komen
ADS