Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ESEI FOTO Sanggup meninggalkan pekerjaan bergaji tetap, Jamil Ismail atau Jamil Kucing hidup bahagia sejak dua dekad lalu dengan menjaga pelbagai jenis haiwan terbiar.

Lelaki yang mesra menggelarkan dirinya sebagai ‘abang’ kepada semua haiwan peliharaannya menyambut kehadiran Malaysiakini pada petang hari Selasa dengan wajah ceria.

Beliau yang menjaga hampir 200 ekor kucing pelbagai baka, seekor anjing dan sepasang beruk berkata rutin sehariannya hanya meluangkan masa bersama ‘semua kekasih kesayangannya’.

Kadangkala beliau akan keluar sekiranya terdapat panggilan menyelamatkan kucing sakit di sekitar Kuala Lumpur.

“Biasanya kalau terluang saya akan balas segala pertanyaan mengenai cara penjagaan haiwan, dan ubat-ubatan di laman sosial dan sekiranya kalau panggilan menyelamatkan haiwan saya akan pergi,” katanya kepada Malaysiakini.

Jamil yang terkenal dengan sepasang beruk bernama JK dan Shaki memelihara haiwan tersebut selepas mendapat permit khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sejak sepuluh tahun lalu.

Bagi memastikan semua kelengkapan JK dan Shaki termasuk pemeriksaan kesihatan secara rutin, Jamil perlu membelanjakan wang sebanyak RM3,000 sebulan.

Bagaimanapun, ia dianggap berbaloi apabila beruk peliharaannya kian popular malah telah muncul dalam 12 buah iklan produk komersial di luar negara antaranya Samsung dan Castrol.

“Bagi bayaran untuk satu hari siaran bersama beruk saya, saya akan cas sebanyak RM6,000 tapi semua untuk siaran antarabangsa, dalam negara belum ada yang panggil,” katanya sambil menunjukkan petikan iklan tersebut.

Jamil yang berasal dari Selama Perak berkata beliau bukan memelihara haiwan terbabit kerana faktor wang sebaliknya kerana kasih sayang yang mendalam terhadap haiwan.

“Saya dari kecil tinggal sama datuk saya. Di kampung ada lembu, ayam dan saya sayangkan mereka, hidup di bandar ini tak boleh lah pelihara.

“Saya tidur sekatil dengan JK dan Shaki pada malam Khamis, Jumaat dan Sabtu. Saya pakaikan pampers supaya dia tak kencing.

“Mereka ni macam manusia jugalah, kalau bilik sudah tutup lampu dia akan tidur dan tidak bising,” katanya sambil ketawa.

Selain tidur bersama, sekiranya ada kelapangan Jamil turut membawa JK dan Shaki menaiki motosikal dan membawa makan di restoran sekitar Kuala Lumpur.

Jamil turut memiliki sangkar kucing di ruang belakang rumahnya. Beliau turut berinteraksi dengan kucing-kucing itu dengan berkata ‘sayang, abang dah datang, mari sini dekat abang,” katanya sambil dikelilingi kesemua kucingnya.

“Kucing ini ada yang saya jumpa tepi jalan, saya kutip dan saya pelihara. Mereka ini saya rawat kalau sakit,” katanya.

Bagaimanapun nada percakapan Jamil terhenti seketika apabila menyentuh soal kesedaran menghargai haiwan di negara ini.

“Orang negara kita tidak seperti negara barat yang sangat sayangkan haiwan. Orang Malaysia ni ada sampai buang-buang haiwan, dera haiwan.

“Saya kalau dapat sumbangan kebanyakannya dari luar negara, di Malaysia ini saya minta sumbangan untuk beli makanan dan rawatan haiwan, tidak ada yang bagi,” katanya.

Jamil turut menceritakan pengalaman rumahnya dijadikan tempat membuang kucing dan anjing.

“Orang buang kucing dan anjing depan rumah saya. Sudah enam kali mereka lepaskan haiwan dalam pagar rumah. Mereka tahu saya sayangkan haiwan.

“Saya perlukan kos untuk makanan dan rawatan haiwan-haiwan ini, sekurang-kurangnya kalau nak letak haiwan, bagi tahu dan bagi wang untuk kos-kos yang kena keluarkan,” kata lelaki berusia 46 tahun itu sambil mengusap kepala seekor kucing.

Jamil yang kini sedang merangka pelan pembinaan taman kucing seluas enam ekar di Ampang turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Azmin Ali yang menyediakan ruang khas untuknya.

“Itu impian saya, saya akan hias taman kucing saya itu sehabis baik, saya akan cat warna warni di dinding. saya akan lepaskan semua kucing saya di situ dan biarkan untuk tatapan semua,” katanya sambil menunjukkan pelan pembinaan terbabit.

Jamil sambil tersenyum berkata taman kucing itu akan beroperasi hujung tahun ini setelah segala usahanya menyelamatkan haiwan sejak 20 tahun ini berbaloi.

Lihat Komen
ADS