Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
P'raya S'wak, PAS pertaruh calon bukan Islam
Diterbitkan:  Oct 4, 2015 10:59 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

PAS akan menyenaraikan calon bukan Islam pada Pilihan Raya Negeri ke-11 yang dijangka diadakan awal tahun depan dalam usaha menembusi landskap politik Sarawak, kata Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata penampilan calon bukan Islam dalam pilihan raya negeri itu merupakan kali pertama dalam sejarah sejak parti itu mula bertapak di Sarawak, 19 tahun lepas.

"Kami telah mengenal pasti calon-calon tetapi nama akan hanya dimaklumkan pada masa yang sesuai," katanya pada sidang media di Miri semalam.

Beliau berkata sebab utama ia memutuskan untuk menampilkan calon bukan Islam adalah untuk membetulkan persepsi bahawa parti itu hanya untuk masyarakat Islam di negeri ini.

"Kami mempunyai sokongan daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan kami yakin mendapat sokongan mereka di negeri ini," katanya.

Beliau berkata penampilan calon bukan Islam bukan sesuatu yang baharu untuk parti itu di Semenanjung kerana terdapat calon bukan Islam mewakili parti itu sejak 2008.

Sebagai rekod, PAS mencipta sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008 apabila mengetengahkan calon daripada kaum India, Kumutha Raman, seorang graduan undang-undang, untuk bertanding pada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Tiram di Johor.

Mengenai Konvensyen PAS Sarawak semalam, Tuan Ibrahim berkata agenda utamanya adalah untuk melakukan persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri.

Kami menjangka pilihan raya negeri diadakan sama ada pada Februari atau Mac tahun depan dan kami telah mengarahkan jentera pilihan raya PAS negeri membuat persediaan mulai hari ini (semalam)," katanya.

Pada pilihan raya negeri ke-10 pada 2011, PAS gagal memenangi kesemua lima kerusi yang ditandingi.

Setakat ini, PAS telah mengesahkan akan bertanding di kerusi DUN Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro dan Belawai manakala masih berunding dengan PKR untuk kerusi Senadin dan Lambir di Miri dan Jepak dan Samalaju di Bintulu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS