Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Statistik kematian disebabkan kemalangan jalan raya turut disumbangkan oleh pengguna motosikal.

Walaupun kerajaan melakukan pelbagai usaha mengekang kadar kemalangan maut termasuk menyediakan lorong laluan motosikal namun golongan itu seringkali berdepan bahaya tanpa diduga yang akhirnya mengakibatkan kemalangan.

Antara keluhan golongan itu adalah jalan tidak diturap rata, papan tanda ditutup dengan pelbagai iklan, terowong gelap tanpa lampu dan yang paling parah, tiada pemantauan penguatkuasa pada waktu malam sehingga menjadi sarang penyamun dan perompak.

Seorang penunggang laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan Fahmy Yaacof, 32, (atas) berkata oleh kerana terlalu banyak pembinaan di pinggir laluan itu menyebabkan berlakunya kerosakan jalan raya dan pembahagi jalan tidak dicat dengan betul.

“Bahaya kalau pembahagi jalan itu tidak dicat dengan betul, kadang-kadang kita tidak tahu kita di laluan kiri atau kanan.

"Ia membahayakan lebih-lebih lagi ketika waktu puncak. Boleh akibatkan kemalangan,” katanya yang menunggang motosikal sejauh 100 kilometer setiap hari kepada Malaysiakini .

Manakala penunggang Muhammad Salman Muhammad (kiri, bawah) pula berkata beliau pernah melihat secara langsung rompakan berlaku di laluan motosikal di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Katanya, kerajaan seharusnya memasang CCTV di laluan motor dan pihak berkuasa seharusnya membuat rondaan di waktu malam kerana pada masa tersebut jalan sunyi itu seringkali menjadi lubuk "perompak menunggu mangsa".

"Saya lihat depan mata saya motosikal depan saya kena rompak, saya tidak berani untuk berhenti untuk membantu kerana bimbangkan keselamatan saya," kata lelaki berusia 29 tahun itu.

Sementara bagi penunggang Mohd Faiz Hasifi Haris, 26, (bawah, kanan) pula berkata beliau seringkali tergelincir ketika menunggang motosikal di waktu hujan kerana air yang bertakung di dalam terowong.

Walaupun tidak pernah mengalami kecederaan semasa menunggang motosikal di laluan itu, beliau menggesa agar kerajaan membuat longkang bagi mengalirkan air bertakung untuk mengelakkan pengguna tergelincir dan jatuh.

“Saya hadapi masalah ketika hujan, air bertakung dalam terowong, bahaya kalau air itu bertakung, boleh kemalangan,” katanya yang sudah menggunakan laluan motosikal Lebuh raya Persekutuan sejak dua tahun lalu.

Muhammad Fazli Zakaria yang sudah 11 tahun menggunakan laluan yang sama berkata seharusnya lorong tersebut diperbesarkan demi keselesaan bersama.

Jelasnya, ketika ini ramai penunggang motor berkuasa besar memerlukan ruang yang lebih dan ia sekaligus dapat memberi ruang lebih untuk motor bersaiz kecil berselisih di laluan itu.

"Besarkan jalan motor, sekarang banyak motor besar yang kadang-kadang himpit pengguna motor kecil.

"Ruang yang terhad di atas jalan boleh akibatkan kemalangan," kata lelaki berusia 29 tahun itu.

Mohd Ezzuandi Ngadi, 29, pula berkata kerajaan seharusnya mewujudkan lebih banyak tempat berteduh ketika waktu hujan kerana jarak kemudahan itu terlalu jauh, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan untuk memakai baju hujan.

"Jalan raya itu sendiri sempit, kalau sudah hujan tidak sempat cari tempat berteduh jadi harus pakai baju hujan tepi jalan, ia sangat membahayakan.

"Kalau boleh kerajaan sediakan lebih banyak tempat berteduh. Kami ini kalau hujan lebat hanya gunakan terowong untuk berteduh. Itu sangat bahaya,” kata Jurutera yang sudah menggunakan laluan motosikal Lebuh Raya Persekutuan sejak lapan tahun lalu.

Mengikut tinjauan Malaysiakini di laluan itu, papan tanda yang keliru dan terlalu banyak pembinaan yang dilakukan di sekitar kawasan tersebut sangat membahayakan penunggang motosikal.

Selain dari terowong tidak berlampu, jalan yang gelap, bonggol yang ditempatkan di selekoh jalan raya boleh menyebabkan penunggang motosikal terbabas ke bahu jalan.

Justeru langkah yang dicadangkan oleh pengguna laluan motosikal seharusnya didengari oleh pihak berkuasa dalam langkah mengurangkan kemalangan jalan raya.

Pengguna mahu k'jaan baiki, pantau laluan motosikalhttps://www.malaysiakini.com/news/314476

Posted by Malaysiakini (BM Version) on Sunday, 4 October 2015

Lihat Komen
ADS