Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tarik kemudahan pada PAS tiada kaitan dengan AMANAH'

Parti Amanah Nasional (AMANAH) tidak pernah memberi sebarang arahan atau mempunyai kaitan dengan tindakan mana-mana anggotanya mengambil semula kemudahan yang sebelum ini disumbangkan kepada PAS.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil berkata apa yang dinyatakan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam mungkin merujuk kepada beberapa insiden membabitkan bekas penyokong PAS yang kini tidak lagi bersama parti berkenaan.

"Biasalah, mungkin ada ahli yang sebelum ini benarkan bangunan atau kemudahan mereka digunakan untuk PAS.

"Selepas mereka menukar pilihan, mereka mengambil semula kemudahan yang sebelum ini diberi kepada PAS.

"Itu berlaku atas pilihan individu tersebut dan tiada kena mengena dengan AMANAH," katanya kepada Malaysiakini .

Faiz ditemui ketika menghadiri program tayangan amal Polis Evo untuk membantu keluarga Allahyarham Harun Salim Bachik di Shah Alam malam tadi.

Semalam Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS membidas Pakatan Harapan, terutama AMANAH yang dianggapnya boleh memecah-belahkan pakatan pembangkang.

Kata Tuan Ibrahim, PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS dan AMANAH yang kini "sedang menarik ahli PAS dan merampas bangunan PASTI" serta markas PAS.

Kamaruddin, Mat Taib kukuhkan PKR

Beliau turut membangkitkan isu pembahagian kerusi dalam pilihan raya nanti.

AMANAH adalah parti serpihan yang diwujudkan kumpulan progresif dalam PAS sebelum ini. Mereka disingkirkan secara besar-besaran oleh perwakilan dalam pemilihan parti itu Julai lalu.

Faiz berkata, AMANAH tidak pernah mengeluarkan perintah kepada penyokongnya atau sesiapa saja untuk menarik balik kemudahan yang diberi kepada PAS.

"Jangan salahkan AMANAH kerana tindakan itu dibuat atas kapasiti individu," katanya.

Mengenai kemungkinan PKR mengalami nasib sama seperti PAS yang berpecah akibat "campur tangan pihak luar", Faiz berkata, keadaan itu dirasakan tidak akan berlaku.

Malah, katanya, kemasukan dua tokoh PAS - Datuk Kamaruddin Jaafar dan Tan Seri Muhammad Muhd Taib ( gambar ) - ke PKR, Faiz yakin ia akan mengukuhkan lagi parti berkenaan.

"Mereka berpengalaman dalam politik dan tidak akan memecah-belahkan PKR," katanya.

Kamaruddin adalah anggota Parlimen Tumpat dan pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung PAS, manakala Muhammad adalah bekas menteri besar Selangor.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub pula mengingatan semua parti pembangkang supaya memfokuskan kepada agenda besar yang menjadi harapan rakyat daripada menyalahkan parti lain yang menyebabkan perpecahan dan masalah kepada parti sendiri.

"Menyalahkan penubuhan Pakatan Harapan sebagai punca pergolakan dan perpecahan tanpa melakukan muhasabah dan penambaikan serta nilai tambah, adalah merupakan sikap yang terbelakang yang jauh sekali gagal untuk memimpin perubahan masa yang semakin kritikal.

"AMANAH sebagai pemain baru dipersada politik tanah air akan sentiasa melakukan koreksi diri untuk memperkukuhkan peranan kami dalam Pakatan Harapan.

"Janganlah kita leka menyalahkan orang lain dan tidak melakukan apa-apa sumbangan untuk sama-sama melaksanakan agenda besar Pakatan Harapan yang menjadi aspirasi rakyat ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lihat Komen
ADS