Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jerebu yang semakin tebal melanda perairan Perlis menyukarkan hampir 1,500 orang nelayan negeri Perlis keluar mencari rezeki.

Ramai antara mereka tidak keluar menangkap ikan sejak tiga empat hari lepas kerana jerebu menyukarkan penglihatan melebihi jarak 500 meter.

Keadaan itu menyebabkan kira-kira 800 nelayan Kuala Perlis dan hampir 700 nelayan Kuala Sungai Baru dan Kuala Sanglang terpaksa mencari alternatif lain jika jerebu tidak beransur pulih.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Perlis, Mat Hassan hasil tangkapan berkurangan lebih separuh dari kebiasaan menyebabkan harga ikan agak mahal.

Katanya keadaan itu ketara sejak empat hari lepas apabila jerebu beralih ke kawasan di utara Semenanjung dan hari ini jerebu semakin tebal.

"Nelayan hanya berani menangkap ikan di kawasan tidak lebih dua kilometer dari pantai walaupun biasanya mereka menangkap di kawasan melebihi lima kilometer kerana bimbangkan keselamatan akibat pemandangan kurang jelas," katanya.

Mat berkata para nelayan bagaimanapun masih dapat bertahan kerana kerajaan memberi mereka elaun sara hidup RM300 sebulan yang digunakan bagi menampung perbelanjaan harian.

"Nelayan yang masih hendak keluar menangkap ikan perlu lebih berhati-hati agar tidak berlaku insiden seperti pelanggaran dengan bot atau kapal serta tersasar haluan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS