Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia cadang mesyuarat perinci pencarian MH370
Diterbitkan:  Oct 5, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Malaysia mencadangkan agar satu mesyuarat tiga pihak peringkat menteri pengangkutan Malaysia, China dan Australia diadakan dalam tempoh terdekat bagi memperinci usaha dan hala tuju pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata ketiga-tiga negara berkenaan komited dalam pencarian MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sehingga tahun depan.

“Kita sedang bekerjasama dengan menteri-menteri pengangkutan China dan Australia... Kalau boleh, kita nak buat secepat mungkin tetapi ia bergantung kepada keadaan dan masa menteri-menteri berkenaan,” katanya kepada pemberita di Sepang hari ini.

Sebelum itu, beliau hadir menyambut kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari lawatan kerja di luar negara.

Pada 29 September lalu, Malaysia, Australia dan China bermesyuarat di Beijing untuk membincangkan operasi pencarian yang sedang giat dijalankan bagi mengesan pesawat Boeing 777 itu, sebagai susulan kepada mesyuarat di Canberra pada awal bulan itu (September).

Mesyuarat dihadiri pegawai Kementerian Pengangkutan dan Hal Ehwal Luar China, pegawai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia dan Biro

Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) serta wakil Kementerian Pengangkutan Malaysia, DCA dan jawatankuasa waris (NOK) penumpang dan anak kapal MH370.

Pada 8 Mac tahun lepas, penerbangan MH370 yang sedang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur hilang daripada imbasan radar.

Pada 6 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan serpihan atau flaperon pesawat yang ditemukan di Pulau Reunion di Perancis Julai lalu adalah daripada pesawat MH370.

- Bernama

Lihat Komen
ADS