Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Warga kota cadang Kelab golf Diraja S'gor di KL jadi taman awam

Warga kota telah mencadangkan kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menukar Kelab Golf Diraja Selangor di Jalan Tun Razak menjadi Taman Awam mirip 'Central Park' New York untuk kemudahan mereka beriadah.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata cadangan itu dibuat oleh warga kota dan berjanji akan memulakan perbincangan dengan pemilik tanah serta mereka yang berkepentingan dalam kelab tersebut termasuk Sultan Selangor.

"Harapan rakyat di Kuala Lumpur berkenaan ruangan awam. Ada yang cadangkan mungkin kewujudan padang golf itu lebih baik dibawa keluar dari Kuala Lumpur dan tanah itu dijadikan tempat seperti Central Park di New York," katanya dalam sidang media di One City Subang Jaya hari ini.

Abdul Rahman berkata beliau tidak mempunyai pandangan mengenainya tetapi menegaskan cadangan dari warga kota itu adalah memastikan ruang hijau dapat disediakan kepada rakyat.

Walaupun mengakui kesukaran untuk melaksanakan cadangan itu memandangkan warisan dan nostalgia kelab tersebut, beliau berkata warga kota dapat memanfaatkan kemudahan itu dengan baik.

Menurutnya, satu laman seni turut dapat disediakan bagi membolehkan aktiviti yang lebih rancak, sihat dan bermanfaat dinikmati warga kota.

"Walaupun kita ada Taman Tasik Perdana Dan Titiwangsa, keduanya bukanlah dalam 'walking distance' dari pusat komersil Kuala Lumpur.

"Orang ramai boleh terus ke sini kalau habis pejabat, pekerja tidak perlu naik kereta menghadapi kesesakan lalulintas. Boleh masuk terus kalau ada taman yang hampir dengan 'central business district' Kuala Lumpur," tambahnya.

Kelab ini dibina pada 1893 dan merupakan antara kelab golf tertua negara dan mempunyai dua padang golf 18 lubang.

Abdul Rahman berkata beliau tidak tahu masa yang bakal diambil untuk merealisasikan cadangan itu tapi berkata beliau menjangkakan banyak pandangan yang menentang cadangan itu, terutamanya dari ahli kelab tersebut.

"Kita kena bincang dulu, kelab ini ada sejarahnya. Tak boleh juga memperlekehkan nostalgia ahli kelab ini.

"Kita mahu hati yang terbuka untuk bicarakan hal ini, dengar dulu dari pelbagai pihak dan kebaikannya, sekurang-kurangnya boleh tingkatkan budaya beriadah di taman," katanya.

Lihat Komen
ADS