Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan putuskan Akta Hasutan 1948 sah

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Akta Hasutan 1948 adalah sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Hakim Negara (CJ) Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim, berkata niat merangka perlembagaan adalah untuk memastikan undang-undang yang sedia ada (pra-merdeka) adalah sah dan terus sah dan boleh dikuatkuasakan dengan bermulanya operasi Perlembagaan pada Hari Merdeka.

Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Hakim Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hakim Abdull Hamid Embong dan Tan Sri Suriyadi Halim Omar.

Menurut Hakim Arifin lagi, selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, tidak mungkin satu set baru undang-undang dapat digubal dengan segera oleh Parlimen untuk menggantikan undang-undang yang sedia ada.

"Ia tidak dapat dielakkan bahawa semua undang-undang yang beroperasi ketika itu perlu diteruskan sehingga ia dimansuhkan. Ini diperuntukkan dalam Perkara 162 yang merupakan peruntukan peralihan bertujuan untuk memastikan penerusan semua undang-undang yang sedia ada selepas Hari Merdeka dengan apa-apa ubah suaian yang mungkin dibuat oleh undang-undang persekutuan atau negeri."

Arifin juga menjawab soalan pertama undang-undang yang ditanya sama ada Seksyen 4 (1) Akta Hasutan melanggar Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"Kami cenderung untuk mempercayai bahawa bukan mahkamah untuk menentukan sama ada sesuatu sekatan adalah munasabah atau sebaliknya. Ia tertakluk kepada bidang kuasa badan penggubal perundangan, bukan mahkamah," katanya.

Bagi Perkara 10 (2), CJ berkata Parlimen diberi hak untuk mengenakan sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan.

"Seksyen 4 (1) [...] ini adalah pandangan kami bahawa ia selaras dengan Perkara 10 (2) (a) dan Perkara 10 (2) (4) Perlembagaan kerana ia tidak boleh dikatakan bahawa sekatan yang dikenakan oleh Seksyen 4 (1) terlalu jauh atau tidak cukup berhubung dengan subjek yang disenaraikan dalam Perkara 10 (2).

"Apabila dianalisis secara dekat, kami bersetuju dengan hujah plaintif (pendakwa) bahawa sekatan yang dikenakan di bawah Seksyen 4 (1) jatuh dalam lingkungan atau parameter Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan," kata CJ.

Beliau kemudian memerintahkan kes pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom didengar di Mahkamah Sesyen. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan, panel itu membuat keputusan dalam kes Dr Azmi Sharom yang mencabar perlembagaan Akta Hasutan.

Pada 11 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan Akta Hasutan menurut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1948.

Azmi, 46, berdepan pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) akta itu, masing-masing berhubung komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lepas.

Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua kesalahan itu yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hari ini Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes itu didengar di Mahkamah Sesyen bagi menyambung semula prosiding.

Dalam penghakimannya, Arifin berkata Seksyen 4(1) akta itu adalah konsisten dan tidak bercanggah dengan Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan bersuara.

Beliau berkata ini bukan satu larangan kerana ia tertakluk kepada beberapa pengecualian sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

Arifin menjelaskan Akta Hasutan pertama kali digubal sebagai Ordinan Hasutan 1948 oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan dikuatkuasakan pada 17 Julai 1948.

Ordinan itu disemak semula pada 1969 di bawah Akta Penyemakan Undang-Undang 1968 dan dinamakan semula Akta Hasutan 1948.

"Oleh itu ia adalah undang-undang sebelum Merdeka. Tidak dapat dinafikan, akta itu mempunyai kesan dalam menyekat kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan. Sebagai undang-undang sebelum Merdeka, akta itu tidak diluluskan oleh Parlimen kerana Parlimen hanya ditubuhkan selepas Merdeka," jelas beliau.

Parlimen mengadakan persidangan pertama pada 11 September 1959.

Hakim itu berkata Akta Hasutan, yang merupakan suatu undang-undang bertulis yang mula beroperasi di Persekutuan sebaik Hari Merdeka, jelas mengikut pengertian 'undang-undang sedia ada' seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160(2) Perlembagaan.

Apabila Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tidak mungkin satu set undang-undang baharu dapat digubal dengan segera oleh Parlimen untuk menggantikan 'undang-undang sedia ada', kata Arifin.

"Dalam keadaan ini, ia tidak dapat dielakkan bahawa semua undang-undang yang beroperasi ketika itu perlu diteruskan sehingga ia dimansuhkan. Ini diperuntukkan dalam Perkara 162 yang merupakan peruntukan peralihan, bertujuan memastikan penerusan semua undang-undang selepas Hari Merdeka dengan apa-apa ubah suai yang mungkin dibuat oleh undang-undang persekutuan atau negeri," katanya.

Arifin berkata panel itu berpandangan bahawa hasrat merangka Perlembagaan adalah untuk mengadakan peruntukan bagi penerusan semua undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan, tertakluk kepada apa-apa pengubahsuaian sebagaimana yang dibuat untuk diselaraskan dengan Perlembagaan.

Lihat Komen
ADS