Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bantah pengusiran: 15 ditangkap, termasuk wakil rakyat

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Muhammad Zaki Harun mengesahkan pihaknya menahan 15 individu termasuk dua wakil rakyat DAP yang membantah pengusiran Kampung Ulu Temiang, Seremban.

Muhammad Zaki berkata kesemua mereka ditahan bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis.

“Saya mengesahkan yang pada 6 Oktober, lebih kurang jam 8.30 pagi pihak polis telah membuat tangkapan terhadap 15 individu termasuk dua wakil rakyat iaitu YB Loke Siew Fook dan Ng Chin Tsai.

“Tangkapan lain ialah empat penghuni Kampung Ulu Temiang dan sembilan lagi adalah bukan penghuni kawasan tersebut,” katanya.

Muhammad Zaki berkata tangkapan itu bagi membolehkan proses pengambilan tanah di Ulu Temiang berjalan lancar.

Menurutnya, sehingga laporan ini ditulis, siasatan masih berjalan dan rakaman percakapan kesemua mereka serta saksi lain akan diambil.

Loke pagi tadi menulis di Facebook bahawa beliau dan Ng ditangkap kerana membantah “pengusiran paksa” Kampung Ulu Temiang.

Loke juga memuat naik gambar seperti berada dalam kenderaan Black Maria polis.

Beliau dibebaskan pada pukul 8 malam selepas ditahan selama hampir 12 jam.

Pada 30 September lepas, kira-kira 100 penduduk Kampung Ulu Temiang berarak kira-kira 4 kilometer dari kampung mereka ke Istana Hinggap yang dipertuan besar Negeri Sembilan.

Ia bagi menyampaikan warkah memohon campur tangan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan lebih pampasan selepas setinggan yang diduduki lebih 40 tahun diarah dikosongkan.

Loke sebelum ini berkata, penduduk kampung berkenaan diberi notis arahan pindah dalam tempoh 14 hari yang berakhir 25 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS