Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jerebu: Penduduk selatan Thai hantar surat bantahan
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:32 AM
Dikemaskini: 4:35 PM

Penduduk Songkhla yang mula terjejas dengan keadaan jerebu yang melanda selatan Thailand menghantar surat bantahan kepada Indonesia semalam.

Surat itu diserahkan kepada Konsul Bahagian Masyarakat dan Budaya di Konsulat Indonesia di Songkhla, Wanney Fabiomata oleh Banchorn Vichiangsri yang mengetuai 20 wakil jaringan badan pembangunan swasta atas nama 'Warga Kota Hatyai-Songkhla yang terjejas dengan

jerebu dari Indonesia'.

Mereka turut berhimpun selama setengah jam di hadapan konsulat itu.

Antara kandungan surat yang ditulis dalam Bahasa Thai tersebut menyatakan masalah jerebu akibat pembakaran hutan di Sumatera yang mula melanda Thailand beberapa hari lepas telah menjejaskan kesihatan penduduk.

"Kanak-kanak, warga emas dan tidak terkecuali anak muda mengalami masalah penyakit pernafasan dan penyakit alahan asap (jerebu). Mereka tidak tahu nasib mereka dan adakah masalah jerebu ini akan ada kesudahannya."

"Kami atas nama penduduk yang terjejas akibat jerebu dari Indonesia setiap tahun merayu supaya anda berkomunikasi dengan kerajaan anda supaya menyedari dan bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah tersebut dengan penuh komitmen.

"Hanya kerajaan Indonesia sahaja yang mengetahui punca dan cara penyelesaian masalah tersebut."

Bacaan Indek Udara di tujuh wilayah selatan pada jam 9 pagi semalam adalah Satun (210), Songkhla (163) dan Phuket (136) berada pada tahap bahaya manakala Pattani (102), Yala (97), Narathiwat (72) dan Surat Thani (59) mencatat bacaan sederhana.

Sementara itu, Thailand mahukan perbincangan dua hala dan serantau mengenai jerebu diadakan selepas masalah akibat pembakaran terbuka di Indonesia kini menjejaskan selatan negara itu termasuk kawasan pelancongan Phuket dan Hatyai.

"Berikutan masalah kali ini lebih serius berbanding sebelumnya, saya sudah mengarahkan pegawai di Kementerian Luar berbincang dengan

negara punca masalah ini dan bagaimana mereka boleh menanganinya," kata Perdana Menteri Thai, Jen Prayuth Chan-ocha dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Kabinet semalam.

Di kawasan yang terjejas akibat jerebu, pihak berkuasa diminta menyembur air untuk mengurangkan jerebu dan topeng muka diberikan kepada penduduk, kata Prayuth.

Kebakaran terbuka dipercayai bermula di Sumatera, Indonesia mengakibatkan udara tidak sihat di Phuket dan Hatyai pada pukul 2 petang semalam dengan masing-masing mencatat bacaan pencemaran udara 146 dan 156.

Bacaan tertinggi dicatat di daerah Muang, wilayah Satul iaitu 210 pada pukul 8 pagi, menurut Jabatan Kawalan Pencemaran semalam.

Menteri Luar Thai, Don Pramudwinai berkata negara itu bersedia menyertai perbincangan mengenai jerebu jika dijemput.

"Jika ada perbincangan, ia pasti membantu untuk menyelesaikan masalah ini," katanya ketika ditanya jika terdapat kemungkinan perbincangan segera diadakan oleh negara terjejas.

Menurutnya setakat ini beliau belum tahu jika ada inisiatif mengadakan mesyuarat dengan negara seperti Indonesia, Singapura dan Malaysia.

- Bernama

Lihat Komen
ADS