Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS gesa hidupkan semula pasukan siasatan khas 1MDB
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:57 AM
Dikemaskini: 5:04 PM

PAS menyokong penuh saranan Raja-Raja Melayu yang mendesak agar siasatan 1MDB diselesaikan secepat mungkin.

"Dengan saranan Raja-Raja Melayu, diharap kerajaan jangan berlengah lagi untuk menghidupkan pasukan siasatan khas 1MDB yang terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia dan SPRM dan membenarkan mereka untuk menjalankan siasatan tanpa rasa takut atau pilih kasih," kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

PAS, katanya, mengharapkan pasukan siasatan itu akan melibatkan Tan Sri Abdul Gani Patail meskipun beliau telah bersara dan juga Ketua Audit Negara yang telah menyerahkan laporan audit 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"(Gabenor Bank Negara) Tan Sri Dr Zeti pula diberi kuasa penuh mendedahkan hasil siasatan dari semasa ke semasa seperti ketika pasukan siasatan aktif sebelum dibenamkan.

"Sebagaimana dakwaan perdana menteri bahawa tiada penyelewengan dalam isu 1MDB, maka beliau sepatutnya mendokong penuh siasatan dilakukan," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi.

"Apakah kerajaan yang menyahut saranan Raja-Raja Melayu atau akan membiarkan 1MDB menjawabnya sekali lagi?

"Sikap Najib selepas teguran Raja-Raja Melayu akan menentukan nasib politik beliau dan 1MDB," tegas Tuan Ibrahim.

Semalam, dalam satu kenyataan Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam kenyataan itu, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan akan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja-raja yang diadakan di Istana Negara hari ini.

Lihat Komen
ADS