Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azman: GLC sudah matang berdepan cabaran TPPA
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 6:16 AM
Dikemaskini: 10:19 PM

Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sudah matang serta mampu berdepan cabaran Perjanjian Pakatan Trans-Pasifik (TPPA), kata Khazanah Nasional Bhd.

Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar berkata tumpuan Khazanah sekarang bukanlah untuk melindungi GLC kerana syarikat-syarikat berkenaan telah berkembang kukuh hasil perlaksanaan Program Transformasi GLC sejak 10 tahun lepas.

"Kita sudah melepasi fasa melindungi GLC. Sebanyak 23 syarikat dalam Program Transformasi GLC telah melepasi fasa perlindungan dan syarikat-syarikat ini sudah mencapai prestasi baik sebagai satu kumpulan," katanya kepada wartawan selepas majlis penutupan Forum Megatrend Khazanah 2015 di ibunegara semalam.

Menurut Azman, Khazanah juga sentiasa menegaskan bahawa GLC adalah unit komersial yang beroperasi dengan model tadbir urus yang baik di samping membantu dari segi pembangunan.

Justeru, katanya GLC sememangnya mempunyai peranan dari segi komersial dan pembangunan.

"Saya percaya, apa saja pakatan yang akan dimeterai negara ini, apa yang penting adalah bagi GLC dan syarikat milik kerajaan memenuhi kriteria prestasi dengan meneruskan peranan pembangunannya," katanya.

Bagaimanapun, Azman berpendapat yang ianya masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai TPPA kerana teks perjanjian itu perlu diteliti terlebih dahulu.

"Ini bergantung kepada teks akhir. Bagi saya ia masih terlalu awal untuk diulas kerana teks itu belum diperoleh lagi.

"Sepertimana semua pihak, kami masih menunggu teks itu dan menanti pengumuman oleh kerajaan," katanya.

Azman menegaskan, proses bagi memuktamadkan pemeteraian TPPA sudah ditetapkan kerajaan dan perkara itu akan dihuraikan serta dibahas di Parlimen kelak.

"Khazanah ada memberikan maklum balas...kami membuat analisis dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, TPPA juga bergantung kepada keadaan kerana ada perkara yang membawa faedah kepada negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS