Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Abim gesa k'jaan dedahkan butiran TPPA
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 10:43 AM
Dikemaskini: 2:59 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa kerajaan supaya mendedahkan butiran kesepakatan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ini akan membantu meyakinkan rakyat bahawa TPPA memberi manfaat kepada negara ini, kata Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Katanya, jaminan yang diberikan janganlah hanya semata-mata janji umum atau janji yang samar-samar.

Buat masa ini, katanya, butiran perjanjian itu diselubungi rahsia, yang menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Rakyat, tegasnya, perlu diberi kesedaran tentang butiran tersebut kerana "era kerajaan tahu semua, telah berlalu".

"Demokrasi bermakna rakyat sendiri perlu membuat keputusan mengenai hala tuju ekonomi negara dan dalam isu TPPA, rakyat yang akan menanggung risiko," katanya.

Dari apa yang mereka fahami tentang TPPA setakat ini, Muhammad Faisal (gambar) berkata, Abim percaya perjanjian itu sebenarnya merugikan negara.

Tegasnya, ia adalah satu bentuk "penjajahan korporat" yang memberi kesan kepada kedaulatan negara.

Beliau memberi contoh syarikat asing dapat mencabar dasar negara jika mereka percaya ia bertentangan dengan kepentingan korporat mereka.

Oleh itu, Abim menggesa kerajaan supaya menangani kritikan yang sah sebelum membuat keputusan muktamad mengenai TPPA.

Kesepakatan rundingan TPPA telah dicapai dua hari lalu di Atlanta, Amerika Syarikat yang melibatkan 12 buah negara. - Mkini English

Lihat Komen
ADS