Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seribu mata menanti mesyuarat raja-raja hari ini
Diterbitkan:  Oct 7, 2015 12:21 PM
Dikemaskini: 4:23 AM

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajudin Putra Jamalullail mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-239, di Istana Negara, Kuala Lumpur pagi ini.

Perkara itu dilaporkan dalam berita segera Bernama kira-kira jam 11 pagi tadi.

Mesyuarat itu mencuri tumpuan ramai susulan ketegasan baginda sekalian yang semalam mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1MDB dan mengambil tindakan tegas kepada pihak berkaitan.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad berikutan mesyuarat Pra-Majlis Raja di Istana Negara semalam.

Keputusan semalam itu mencetuskan perbincangan hangat sehingga pembangkang tampil dengan pelbagai permohonan untuk dipertimbangkan baginda sekalian.

Ini termasuk cadangan drastik memecat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali oleh anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

PAS juga hari ini menggesa petugas khas empat badan berprofil tinggi bagi menyiasat isu 1MDB dihidupkan semula.

Manakala DAP pula mahu dua hari diperuntukkan untuk membincangkan titah raja-raja di parlimen.

Ketika laporan itu ditulis, mencurah-curah kenyataan media pelbagai pihak, terutamanya pembangkang, ditulis bagi mengupas kebimbangan itu.

Raja-raja Melayu semalam membangkitkan kebimbangan akibat kegagalan memberikan jawapan meyakinkan yang boleh mempengaruhi kejatuhan nilai ringgit yang kini berada di paras terburuk dalam tempoh 17 tahun.

Semua pihak terus ternanti-nanti, apa kata istana sebagai sebuah institusi untuk semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

Lihat Komen
ADS