Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN Merujuk kepada isu khutbah Aidiladha di Pahang, tindakan Mufti Pahang tidak bersedia berjumpa dan berdialog dengan pihak DAP merupakan tindakan yang boleh disifatkan memalukan umat Islam.

Ini kerana, dakwaan DAP sebagai "musuh Islam", walau atas alasan memberi nasihat sekalipun, merupakan tuduhan yang berat. Sudah pasti, ia perlu diselesaikan dengan ilmiah dan berfakta.

Dalam pengajian usul fiqh, ada kaedah menyatakan bahawa hukum sesuatu perkara, setengahnya terletak pada mengetahui gambaran perkara yang mahu dihukumkan itu.

Justeru, wajib bagi mufti berdialog dan berhujah dengan pihak DAP untuk memastikan sejauh mana kebenaran di sebalik dakwaan DAP sebagai Musuh Islam itu.

Dari sudut sejarah umat Islam, Saidina Ali ada menghantar wakil untuk berhujah ketika berhadapan dengan puak Khawarij yang ketika itu mahu melakukan pemberontakan.

Jika Saidina Ali boleh berdialog dan menyampaikan hujah yang jitu dalam berhadapan dengan pemberontakan, sudah pasti amat tidak wajar jika pihak mufti tidak bersedia berhujah dan berdialog dengan DAP atas tuduhan sebagai musuh Islam.

Walhal, DAP tidak pernah memberontak ke atas Islam dan malahan tuduhan bahawa DAP adalah musuh islam itu sendiri masih kabur.

Sebagai tokoh yang dianggap mewakili suara Islam oleh ramai rakyat Malaysia, mufti perlu sedia mengambil sikap seperti Saidina Ali agar tidak merosakkan imej agama Islam.

Pihak mufti patut bebas berhujah dan tidak takut menyatakan kebenaran. Jika tidak, sudah pasti kenyataan para mufti selepas ini akan dianggap picisan oleh rakyat Malaysia.

Keadaan ini sudah pasti memberi implikasi buruk pada imej institusi mufti di mata rakyat Malaysia, terutama dalam kalangan bukan muslim.

Pihak BiPPA AMK Malaysia berharap, agar pihak mufti Pahang mengambil sikap profesional dalam berhadapan dengan isu perbezaan politik kepartian, di samping menjauhkan pendekatan yang boleh melahirkan permusuhan antara rakyat Malaysia.

Pihak BiPPA AMK Malaysia juga berdoa agar budaya rahmat menjadi amalan rakyat Malaysia. Sudah pasti, amalan permusuhan berasaskan kaum dan agama dapat dielak.


WAN JI WAN HUSSIN ketua Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama (BiPPA) AMK Malaysia.

Lihat Komen
ADS