Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hisham: Kalau tak percaya PM, raja akan terus terang

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak tafsiran bahawa Majlis Raja-Raja Melayu hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hishammuddin berkata kenyataan berkaitan hilang kepercayaan itu ditimbulkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kalau (Majlis) Raja-Raja tak percaya, mereka akan cakap bulat-bulat," katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan Jalan Padang Tembak hari ini.

"Kenyataan itu (dari) pihak yang tak bertanggungjawab," kata naib presiden Umno itu lagi.

Menurutnya lagi, pihak tersebut bersikap "tidak adil" kerana cuba mentafsir kenyataan Majlis Raja-Raja itu.

"Ia tidak adil. Kalau (Majlis) Raja-Raja tidak yakin pada PM, mereka akan cakap secara terus (terang), tak perlu sebut tentang 1MDB," katanya.

Felo kanan Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura John Pang membuat tafsiran bahawa kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung firma pelaburan itu menunjukkan baginda sekalian tidak yakin dengan Najib.

John yang juga penganalisis politik membuat kenyataan itu memandangkan raja-raja Melayu tidak pernah merujuk secara khusus isu-isu kerajaan dalam kenyataan mereka.

Pada Selasa, Majlis Raja-Raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Lihat Komen
ADS