Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menjelang pembentangan bajet 2016 di Parlimen pada 23 Oktober ini, kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan orang ramai berkaitan perkara yang perlu disentuhnya.

Laman web Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri turut memaparkan beberapa kategori yang sering menjadi fokus dalam bajet-bajet sebelum ini.

Antaranya kos sara hidup, pembangunan luar bandar, perumahan, kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan ekonomi, pendidikan dan keselamatan.

Malaysiakini membuat tinjauan terhadap pelbagai kelompok berbeza masyarakat berhubung keperluan mereka.

Berikut intipati daripada hasil tinjauan itu:

Peniaga kecil mahu GST dihapuskan

Golongan peniaga kecil menggesa kerajaan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana dianggap membebankan.

Rata-rata peniaga yang ditemui tidak meminta agar prasarana diberikan sebaliknya dengan menghapuskan GST, pendapatan diterima seperti tahun-tahun sebelum ini dapat dirasai tanpa memikirkan kerugian berterusan.

Keluhan pemandu teksi

Pemandu teksi di Lembah Kelang mencadangkan kerajaan menyediakan lebih banyak tempat mengisi gas NGV dan meneruskan pemberian subsidi tayar yang kini dihentikan.

Mereka turut mencadangkan diberi pemilikan permit persendirian teksi serta diperkenalkan kad Touch n Go khusus buat pemandu teksi.

Pemandu teksi menikmati separuh harga bayaran tol namun melalui Touch n Go golongan itu terpaksa membayar harga penuh.

Mahasiswa mahu pendidikan percuma

Golongan nahasiswa mencadangkan kerajaan memasukkan pelan pendidikan percuma dalam pembentangan bajet tahun depan.

Mahasiswa di pusat pengajian awam serta swasta rata-rata mengadu masalah yang sama iaitu bebanan yuran pengajian yang tinggi selain mahu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) digantikan dengan pendidikan percuma.

Pendidik harap dihargai

Warga pendidik mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana tambahan untuk alat bantu mengajar bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi membolehkan pelan pendidikan percuma disertakan dalam belanjawan 2016.

Mereka turut mahukan cuti bagi melaksanakan ibadah haji dikaji semula dari 40 hari ke jangka masa yang lebih lama memandangkan ada antara golongan pendidik terpaksa mengambil cuti sakit.

Golongan itu turut mahukan elaun tambahan RM200 diberikan kepada guru yang menjawat jawatan dalam persatuan kerana terpaksa bekerja lebih bagi menyediakan laporan bulanan dan tahunan.

Pesara tentera mahu tingkatkan pencen

Pesara tentera bergadai nyawa kepada negara memohon pencen mereka dikaji dan diselaraskan mengikut kos sara hidup masa kini.

Kata mereka, pencen golongan pesara ini wajar dikaji semula kerana pekerjaan mereka berdepan dengan bahaya dan ada antara mereka yang cedera ketika bertempur di perbatasan negara.

OKU harap EPC dan bantuan am dinaikkan

Kenaikan Elaun Pekerja Cacat (EPC) dan bantuan am untuk Orang Kurang Upaya (OKU), antara yang diharapkan golongan itu pada pembentangan bajet tahun depan.

Golongan terbabit meluahkan masalah sama mahukan EPC yang kini diberikan kerajaan sebanyak RM350 ditingkatkan kepada RM500 dan diberikan kepada semua OKU tanpa melihat jumlah pendapatan mereka.

Begitu juga bantuan am sebanyak RM200 bagi OKU tidak bekerja ditingkatkan kepada RM500.

Anda pula, apa yang anda mahu disentuh dalam bajet lagi dua minggu? E-mel [email protected] bagi berkongsi pandangan anda atau ulas di ruangan komen di bawah.

Lihat Komen
ADS