Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Jangan cabar polis, demo berasas kaum tak perlu'

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk mengadakan demonstrasi haram agar tidak mencabar pihak berkuasa.

"Jangan cabar pihak berkuasa. Jangan cabar polis, dan KDN kerana perkara ini hanya akan merugikan negara.

"Ketenteraman awam merupakan asas ekonomi yang baik, hubungan kaum yang baik, agama yang baik," katanya dalam sidang medianya di ibu negara hari ini.

MP Pulai itu menjawab soalan pemberita berhubung rancangan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd Ali Baharom yang mahu mengadakan himpunan di Taman Melaka Raya, di Melaka Sabtu ini .

Bagaimanapun katanya, cadangan itu dibatalkan kerana arahan pihak berkuasa dan menghormati majlis pengangerahan darjah kebesaran oleh Gabenor Melaka, pada hari yang sama.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata mana-mana perhimpunan yang tidak mendapat kelulusan dan kebenaran adalah perhimpunan haram berdasarkan Akta Perhimpunan Aman.

"Kalau ikutkan Akta Perhimpunan Awam, ia sememangnya haram kerana tidak dibuat di tempat yang sewajarnya.

"Kalau dia nak buat pun, kena minta kebenaran dengan tuan punya tapak. Kalau tuan punya tapak tidak benarkan, bermakna perhimpunan mereka jadi perhimpunan haram," katanya lagi.

Nur Jazlan turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan untuk mempromosikan diri susulan suasana tegang yang wujud sejak kebelakangan ini.

Demonstrasi berasaskan kaum tidak perlu diadakan, tegas Nur Jazlan lagi.

"Saya, bagi pihak KDN memandang perkara ini sebagai tidak perlu kerana ia boleh keruhkan suasana dan juga ketenteraman negara.

"Ia juga sebenarnya tidak memberikan apa-apa manfaat kepada negara," katanya bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan cadangan mana-mana individu yang dianggapnya sebagai "golongan minoriti" untuk mengadakan demonstrasi.

"Kenapa majoriti perlu takut dengan golongan minoriti, lebih baik kita jangan hiraukan mereka dan polis akan ambil tindakan yang sesuai untuk kawal keselamatan di Melaka," katanya.

Lihat Komen
ADS