Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis sahkan mayat ditemui murid Orang Asli hilang
Diterbitkan:  Oct 8, 2015 4:00 PM
Dikemaskini: 8:06 AM

Polis Kelantan hari ini mengesahkan mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui reput dalam Sungai Perias, berhampiran Pos Tohoi, dekat Gua Musang malam tadi adalah antara tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata hasil pengecaman yang dilakukan anggota keluarga ketujuh-tujuh murid-murid berkenaan mengenal pasti mangsa berkenaan sebagai Sasa Sobrie, 8.

"Keluarga mangsa mengecam mayat itu menerusi tanda-tanda yang terdapat di badan mangsa. Bagaimanapun pembuktian menerusi ujian DNA masih perlu dilakukan untuk pengesahan sebelum mayat mangsa dapat dituntut oleh anggota keluarganya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Zon Timur di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di Kota Bharu, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Acryl Sani Abdullah Sani itu turut dihadiri kira-kira 300 pegawai dan anggota SSPDRM dari Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Seorang penduduk kampung menemui mayat seorang budak perempuan yang reput dalam Sungai Perias, kira-kira 500 meter dari Pos Tohoi pukul 7 malam.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata hasil penemuan mayat itu, pihaknya akan mengubah operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan memberi fokus di sepanjang sungai berkenaan selepas ini dan turut menggunakan khidmat pasukan penyelamat daripada beberapa agensi terlibat.

Di GUA MUSANG, Pengarah Hospital Gua Musang (HGM) Dr Nik Mohd Faizal Zainal Abidin ketika ditemui berkata hasil bedah siasat malam tadi mendapati kanak-kanak itu telah meninggal dunia kira-kira satu atau dua minggu lepas dan pengesahan mayat akan ditentukan menerusi ujian DNA.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11; - berasal dari Kampung Gawin dan Penad.

-Bernama

Lihat Komen
ADS