Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPPA: PAS akan adakan sidang meja bulat bersama NGO
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 8:26 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

PAS bersama NGO akan mengadakan satu persidangan meja bulat bagi membincangkan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

"Seperti Kongres Rakyat, meja bulat ini akan memberi peluang kepada semua pihak mengambil bahagian dalam menentukan masa depan negara," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata peluang wajar diberi bukan hanya kepada ahli Parlimen sahaja, sebaliknya semua pihak yang ingin memberikan pandangan.

"Negara kita mempunyai ramai pakar ekonomi dan strategik yang mampu menyumbangkan idea bernas bagi memuktamadkan pendirian negara sama ada menerima atau menarik diri dari perjanjian tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Tegasnya, tanpa sebarang maklumat, dan selepas 13 tahun rundingan, 12 negara yang mengawal 40 peratus ekonomi global akhirnya mengumumkan mereka sudah mencapai kata setuju terhadap TPPA.

"Asalnya ia cuma satu perjanjian perdagangan, namun kini keluasan kuasa TPPA amat menggerunkan kerana ia meliputi hak pekerja, alam sekitar, perlindungan harta intelek, kastam, e-perdagangan dan juga pelaburan.

"Apakah TPPA ini sudah muktamad? Tidak lagi. Ia masih jauh. Ia mungkin setahun lagi ataupun lebih lama, sebelum perjanjian itu ditandatangani dan ditutup dan dihantar ke semua negara ahli.

"Pergolakan politik di mana-mana negara akan menyebabkan ini tergendala. Bahkan di Amerika sendiri, Presidennya Barack Obama juga menghadapi tentangan Hillary Clinton yang menentang TPPA selain pihak Republican," tambahnya.

Tuan Ibrahin berkata, kini TPPA akan dibawa ke parlimen Temasing-masing untuk didebatkan sebelum sesebuah kerajaan menandatanganinya.

"Walaupun ahli politik tidak boleh mengubah kandungan TPPA, namun mereka boleh mengundi untuk mengubah mana-mana undang-undang tempatan, termasuk tarif dan hakmilik intelek bagi memenuhi kehendak TPPA.

"Perkara yang paling ingin diketahui kini – apakah faedah dan keburukan TPPA? Prestasi kabinet juga mengoyahkan rakyat apakah pimpinan hari ini boleh berunding dengan baik untuk mendapat kelebihan bagi Malaysia di TPPA," katanya.

Beliau mendakwa skandal yang menyelebungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tatkala TPPA mencapai persetujuan, juga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap rundingan TPPA dalam melindungi kepentingan negara dan rakyatnya.

Menurutnya, dengan duti eksport yang bakal dimansuhkan di dalam urusan perdagangan antara 12 negara ini, apakah impaknya pada perniagaan skala kecil dan sederhana negara tatkala rakyat boleh menikmati barangan import dengan murah dan juga caj perkhidmatan telefon antarabangsa yang lebih murah.

"Apakah yang akan berlaku pada industri tempatan - seperti Proton dan Perodua jika kereta Jepun dapat memasuki pasaran negara secara bebas?

"Oleh kerana tiada siapa yang tahu isi kandungan perjanjian tersebut, maka Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed perlu mengemukakan kesemua draf perjanjian yang telah dimuktamadkan minggu lalu.

"Rakyat terpaksa menunggu beberapa minggu lagi sebelum dapat mengetahui kandungan TPPA yang akan dipaparkan ke awam. Namun, PAS percaya banyak lagi kandungan yang akan terus dirahsiakan," tambahnya.

Lihat Komen
ADS