Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jika anda fikir laluan motosikal tidak selamat dan mahu memilih jalan utama, fikir dua kali. Statistik menunjukkan sebaliknya.

Tujuh daripada lapan kemalangan maut di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) melibatkan penunggang motosikal disebabkan tidak menggunakan laluan motosikal.

Sebanyak 70 peratus kematian daripada kemalangan tersebut disebabkan kes langgar dari belakang akibat pengguna motosikal mengguna jalan utama.

Laluan 34.5 kilometer itu bermula dari persimpangan Sri Petaling, Kuala Lumpur dan berakhir di persimpangan Pandamaran, Klang, Selangor.

Statistik kemalangan dicatatkan dari Januari sehingga September tahun itu dimaklumkan oleh Naib Pengarah Bahagian Kewangan dan Bahagian Korporat Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Abdul Rashid Rahman.

Ditemui Malaysiakini di pejabat KESAS di Subang Jaya, beliau berkata penunggang motosikal perlu dididik menggunakan laluan itu bagi mengelakkan kemalangan maut.

"Apa yang kita mahu, penunggang motosikal (perlu) dididik menggunakan lorong motosikal kerana faktor keselamatan," katanya sambil menegaskan laluan motosikal di lebuh raya itu selamat digunakan.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan berhubung kebimbangan penunggang motosikal menggunakan laluan itu di lebuh raya tersebut kerana berdepan dengan pelbagai kesulitan dan masalah.

Antaranya jalan tidak diturap rata, papan tanda ditutup dengan pelbagai iklan, terowong gelap tanpa lampu dan tiada pemantauan penguatkuasa pada waktu malam sehingga menjadi sarang penyamun dan perompak.

Berkaitan aspek keselamatan, Abdul Rashid mengakui pihaknya menerima laporan mengenai insiden rompakan berlaku di lorong motosikal raya KESAS.

Namun katanya itu berlaku pada tujuh tahun lalu.

"(Namun) kita tidak menerima laporan mengenai rompakan beberapa tahun kebelakangan ini. Kali terakhir (laporan yang kita terima) pada tujuh tahun lalu dan ia sudah lama,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu Eksekutif Keselamatan Trafik Norimran Mohd Ihsan dan Pengurus Kanan Operasi Mazlan Muridan.

Laluan basah, gelap bukan alasan

Sementara itu, mengupas perkara yang sama, Norimran mencelah dengan berkata laluan basah dan gelap tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak menggunakan laluan motosikal.

Katanya, lampu jalan utama sudah memadai bagi menerangi laluan motosikal itu, dan jika jalan basah disebabkan hujan, KESAS akan segera bertindak sekiranya terdapat halangan di laluan itu.

"Sebenarnya, walaupun kadangkala jalan motosikal berair kita akan bersihkan. Perlu diingatkan, jalan utama tetap bahaya untuk digunakan.

"Penunggang motosikal perlu memikirkan keselamatan mereka terlebih dahulu," katanya

Sementara itu, Mazlan pula berkata KESAS mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan laluan motosikal lebih selamat.

Antaranya peronda bermotosikal KESAS akan membuat rondaan berkala pada waktu siang dan malam setiap hari, termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di setiap persimpangan.

Katanya lagi setiap 1.5 kilometer di laluan tersebut,turut disediakan telefon kecemasan kepada penunggang yang mengalami masalah.

Sekiranya mendapat panggilan kecemasan, Mazlan berkata peronda akan tiba ke lokasi tersebut dalam tempoh 20 minit.

"Pihak KESAS sentiasa membuat pantauan mengenai laluan itu dan sedia menambah baik sekiranya ada cadangan dari orang ramai," katanya.

Pengguna mengalami sebarang masalah ketika menggunakan laluan motosikal KESAS menghubungi talian hotline 03-56337188 untuk bantuan. KESAS turut mengalu-alukan cadangan atau laporan pengguna melalui e-mel [email protected].


Berkaitan: Pengguna mahu k'jaan baiki, pantau laluan motosikal

Lihat Komen
ADS