Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat ahli perniagaan dipercaya dibunuh ditemui
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 2:42 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Mayat seorang ahli perniagaan yang dipercayai dibunuh, ditemui orang awam, di sebuah hutan berdekatan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, dekat Johor Bahru pada petang Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Beh Eng Lai berkata mangsa Cheung Zi Hong, 22, yang sebelum ini dilaporkan diculik sekumpulan individu pada 28 September, ditemui pada jam 2.40 petang.

Beh berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke hospital berhampiran untuk dibedah siasat.

"Bedah siasat mengesahkan Cheung dibunuh dan hasil ujian DNA juga mendapati si mati adalah mangsa culik yang dilaporkan," kata beliau ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ekoran penemuan mayat Cheung, beberapa suspek ditangkap di rumah penginapan mereka di beberapa kawasan termasuk Kota Tinggi semalam bagi membantu siasatan, katanya yang enggan mengulas lanjut.

Beh turut berkata kereta mangsa jenis Audi TT berwarna putih, yang dilaporkan turut hilang pada hari sama mangsa diculik, turut ditemui semula di kawasan Taman Perling di Johor Bahru pada hari Ahad.

"Maklumat lanjut akan didedahkan dalam sidang akhbar dalam masa terdekat," kata Beh.

Terdahulu, beliau berkata Cheung, pernah menelefon rakannya memberitahu dia diculik oleh sekumpulan individu tidak dikenali, sekali gus meminta bantuan agar menyediakan wang tebusan RM50,000 pada hari dia dipercayai diculik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS