Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kebakaran: DBKL sedia kabin bantu peniaga pasar lama Chow Kit
Diterbitkan:  Oct 9, 2015 3:11 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyediakan kemudahan kabin bagi membantu peniaga yang terjejas dalam kebakaran

di pasar lama Chow Kit di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Eksekutif Sosio Ekonomi DBKL Datuk Normah Malik berkata pihaknya difahamkan yang kebakaran itu melibatkan tempat penyimpanan barang peniaga di pasar berkenaan.

"Gerai yang musnah itu kebanyakannya adalah tempat simpan barang dan difahamkan hanya 10 peniaga yang menjalankan perniagaan di tempat kebakaran.

"Kami akan sediakan kemudahan kabin kepada mereka khusus untuk dijadikan tempat simpanan barang sementara peniaga, ini antara lain untuk memudahkan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tanpa menjelaskan bilangan kabin yang akan disediakan, beliau berkata kabin-kabin itu akan diletakkan di kawasan tanah kosong berhampiran pasar berkenaan.

"Kami akan berbincang dengan tuan tanah di sekitar kawasan pasar itu untuk kita letakkan kabin kepada peniaga ini. Bagi 10 peniaga yang terlibat pula kita akan sediakan tapak kosong untuk mereka berniaga di dalam pasar itu juga," katanya.

Normah berkata pihaknya akan memulakan kerja-kerja pembersihan di kawasan berkenaan selepas pihak forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat selesai menjalankan siasatan.

"Kerja pembersihan mungkin mengambil masa antara tujuh hingga 10 hari namun kami tunggu kebenaran pihak bomba dahulu," katanya.

Pada 12.30 tengah malam tadi, kira-kira 40 kedai di pasar lama Chow Kit musnah atau mengalami kerosakan dalam kebakaran, termasuk kedai menjual barangan kering, bunga hiasan dan lain-lain.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS