Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hari Sukan Negara (HSN) yang diwujudkan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) disifatkan sebagai pencetus transformasi sukan di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat negara ini tidak boleh melihat ‎HSN sebagai satu sambutan semata-mata, sebaliknya sebagai pencetus semangat untuk melakukan aktiviti bersukan.

Katanya, konsep sebenar HSN bukan hari ini sahaja bersukan sebaliknya konsepnya adalah hari-hari bersukan.

"Kita tak boleh anggap ini sebagai satu sambutan sahaja. HSN akan gagal mencapai objektif, melainkan kita dapat menterjemahkan ia menjadi hari yang mencetuskan negara yang membudayakan sukan.

"Inilah yang perlu kita capai, bila kita dah sampai di peringkat itu kita akan melahirkan jaguh-jaguh sukan yang hebat di dunia," kata beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian HSN 2015 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, hari ini.

Najib berkata, walaupun Malaysia sudah ada jaguh sukan nombor satu dunia ketika dahulu seperti skuasy, tetapi kita tak ada pengganti.

"Kita tak ada siapa selepas Nicol David, siapa selepas Lee Chong Wei. Kalau kita sebuah negara yang membudayakan sukan, dengan sendirinya akan terjawab melalui puluhan, ratusan anak muda akan tampil ke hadapan untuk mengambil bahagian di peringkat tertinggi di dunia.

"Jadi marilah kita kembali kepada tujuan HSN diadakan ialah untuk mentransformasikan Malaysia mulai hari ini dengan mengamalkan sukan sebagai satu budaya dan cara hidup rakyat Malaysia," kata Najib.

‎Tambah Najib, beliau berharap HSN negara akan bergerak ke hadapan dan terus menjadi budaya dalam kehidupan harian rakyat.

Lihat Komen
ADS